Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia juga akan melakukan apa sahaja dalam mencapai hal tersebut termasuk melakukan libat urus secara langsung dengan wakil Amerika Syarikat (AS), selain memanfaatkan hubungan baik dengan Mesir dan Hamas.
Anwar berkata demikian sebagai reaksi kepada persetujuan Israel dan Hamas melaksanakan gencatan senjata untuk menghentikan perang selama 15 bulan yang dahsyat di Gaza.
"Kita alu-alukan, yang penting adalah pendamaian, menghentikan serangan berterusan yang menyebabkan pembunuhan rakyat dan kemushaan harta benda.
"Kita mengharapkan hal ini dapat diteruskan, dan kita akan lakukan apa sahaja yang perlu," katanya kepada delegasi media Malaysia selepas merasmikan InvestMalaysia di London pada pagi Khamis waktu tempatan.
Mengulas lanjut, Anwar berkata beliau juga akan segera menghubungi Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba bagi mencadangkan agar jawatankuasa Pengerusi Bersama antara kedua-dua negara dapat mengadakan pertemuan segera bagi mencari jalan serta kaedah membantu Gaza.
"Kita doakan insya-Allah kekal, dan Perdana Menteri Jepun minta kita jadi Pengerusi Bersama antara Jepun dan Malaysia untuk Asia Timur mencari dana dan kaedah membantu segera (Palestin)," ujar beliau.
Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Jassim Al Thani pada Rabu dilaporkan berkata perjanjian itu akan membawa kepada pembebasan tawanan Israel dan lonjakan bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Fasa pertama perjanjian itu akan berlangsung selama 42 hari dan membabitkan pembebasan 33 tahanan Israel sebagai pertukaran dengan sejumlah tahanan Palestin yang tidak dinyatakan.