LONDON: Malaysia perlu menjadi antara lokasi penting yang berada dalam radar para pelabur dunia, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Perdana Menteri, ia mengambil kira polisi kerajaan yang kritikal terhadap soal tenaga, kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor.

Berucap di hadapan para pelabur di United Kingdom (UK) ketika merasmikan projek YTL Group, Anwar menekankan bahawa pentadbiran Malaysia ketika ini disifatkan sebagai stabil dan mempunyai satu dasar yang konkrit.

"Dengan itu, kami menumpukan usaha kami pada inisiatif-inisiatif utama, dan ia akan terlaksana melalui tindakan konkrit. 

"Kami mempunyai satu set dasar yang sangat konkrit dan bidang keutamaan yang sangat penting untuk pelabur. Anda tahu dengan jelas apa dasar-dasar kami, sama ada dalam transformasi digital, peralihan tenaga, AI, atau strategi semikonduktor. 

"Dengan kejelasan ini, ujian sebenar akan terletak pada keberkesanan dan kecekapan dasar-dasar ini.

"Saya gembira melihat kemajuan yang kami capai dan YTL menjadi antara pemain penting di rantau ini. Kami ingin menunjukkan kepada anda bahawa, selepas dua tahun (pentadbiran Kerajaan Perpaduan) kami berada di landasan yang betul," kata Perdana Menteri.

Beliau berucap pada majlis pelancaran pembangunan bandar baharu Brabazon YTL Group di Bristol, bandar terbesar di barat daya England pada petang Rabu waktu tempatan, di sini.

Berucap lanjut, Perdana Menteri memaklumkan bahawa penyertaan UK ke dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) memberi peluang dalam meningkatkan hubungan perdagangan antara kedua-dua negara.

Jelas beliau, ia adalah manfaat susulan perjanjian tersebut sebagai tanda komitmen politik serius yang memberi tumpuan kepada asas ekonomi demi kepentingan kedua-dua negara untuk menggalakkan perdagangan bebas.

Beliau yang juga Menteri Kewangan menambah, pelaburan oleh syarikat perniagaan Malaysia di UK bukan hanya sekadar memacu pertumbuhan ekonomi, malah mencerminkan komitmen untuk memupuk perkongsian yang membawa pembangunan secara bersama.

Sementara itu, Perdana Menteri memuji usaha YTL Group, yang merupakan pelabur terbesar Malaysia di UK, dalam menjayakan pelbagai pembangunan utama di negara tersebut.

YTL membuat pelaburan pertamanya di UK pada 2002 dengan pengambilalihan Wessex Water.

Pada majlis pelancaran tersebut, Pengerusi Eksekutif YTL Group, Tan Sri Francis Yeoh Sock Ping memaklumkan syarikat itu akan melabur sebanyak  RM21.96 bilion (£4 bilion) di UK dalam tempoh lima tahun akan datang.