KUALA LUMPUR: Selaras dengan pembukaan sesi persekolahan 2025/2026, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahukan supaya sekolah menjadi tempat yang selamat, selesa dan penuh harapan kerana pendidikan adalah pintu kejayaan.


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahukan sekolah menjadi tempat yang selamat, selesa, dan penuh harapan kerana pendidikan adalah pintu kejayaan.
  • Anwar mengadakan lawatan mengejut di Sekolah Kebangsaan Kampung Baru, meninjau keadaan hari pertama persekolahan dan dedikasi pendidik.
  • Beliau menekankan pentingnya tanggungjawab bersama oleh pemimpin, guru, pendidik, dan ibu bapa demi kejayaan anak bangsa, serta mengimbau peranan besar seorang guru dan pendidik.


Menerusi catatan di Facebook hari ini Anwar berkata dalam kesibukan menjalankan tugas, beliau sempat mengadakan lawatan mengejut di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru, di sini,




"Di Sekolah Kebangsaan Kg Baru, saya meninjau sendiri keadaan dan suasana hari pertama persekolahan dan dedikasi serta kecekalan pendidik yang bersungguh-sungguh membentuk masa depan bangsa dan negara.

"Dalam kunjungan mengejut dan singkat tersebut, saya luangkan masa mendengar, kerana perihal pendidikan bukan sekadar buku teks dan peperiksaan, tetapi soal membina impian, menerjah peluang, dan mencorak harapan," katanya yang turut mengucapkan selamat kembali menimba ilmu kepada anak-anak yang memulakan persekolahan hari ini.


Beliau berkata di sebalik setiap harapan itu ada tanggungjawab yang perlu dipikul bersama oleh semua pihak sebagai pemimpin, guru dan pendidik serta ibu bapa demi kejayaan anak bangsa.

Anwar turut mengimbau saat beliau berdiri sebagai pensyarah di hadapan mahasiswa di Georgetown University, Washington DC di tahun-tahun lampau dan menyedari betapa besarnya peranan seorang guru dan pendidik.

Beliau berkata guru dan pendidik bukan hanya membimbing dengan ilmu, tetapi dengan kasih sayang, sikap ihsan yang terdalam, contoh teladan dan hikmah.

Walaupun sekolah dan universiti adalah dua persekitaran yang berbeda, Perdana Menteri berkata namun semangat mencurah bakti adalah yang sama.

Sesi persekolahan 2025/2026 bagi Kumpulan B membabitkan 11 negeri bermula hari ini manakala Kumpulan A yang melibatkan Kedah, Terengganu dan Kelantan telah dilaksanakan semalam.

-- BERNAMA