KUALA LUMPUR: Perdana Menteri menyifatkan lawatan pertamanya ke luar negara tahun ini di Emiriah Arab Bersatu (UAE) membuahkan kejayaan yang sangat bermanfaat untuk rakyat dan negara.

Dalam satu muat naik di media sosial, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia akan memainkan peranan lebih luas dan meningkatkan kerjasama strategik dalam beberapa bidang antaranya ekonomi, pelaburan, pertahanan tenaga boleh baharu, pelancongan, kemampanan dan kecerdasan buatan.

"Ini termasuk meningkatkan sinergi perdagangan dengan negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (Gulf Cooperation Council - GCC) dan ASEAN, selain pelaburan dengan syarikat gergasi UAE.

"Terima kasih UAE, moga bertemu lagi dan kini misi delegasi Malaysia bergerak ke London, United Kingdom dalam usaha untuk memperkukuhkan hubungan strategik antara kedua-dua negara," katanya.

Anwar berkata demikian pada hari terakhir di Emiriah Arab Bersatu (UAE) semasa bertemu media Malaysia bagi memberi penerangan dan penjelasan terkait kejayaan dan sinergi pelaburan yang telah dicapai.

Anwar memulakan lawatannya di UAE sejak Ahad lalu antara lain bagi menghadiri Minggu Kelestarian Abu Dhabi (ADSW) di sini dan meningkatkan hubungan dua hala dalam pelbagai bidang antara kedua-dua negara.

Lawatan Anwar ke UAE adalah atas jemputan Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum yang juga Pemerintah Dubai.

Sepanjang lawatan itu, Perdana Menteri mengadakan pertemuan dengan pemerintah Dubai dan Presiden UAE serta Pemerintah Abu Dhabi, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan.

Beliau juga menyertai 12 ketua negara dan kerajaan lain pada ADSW 2025 yang antara lain, mengambil bahagian dalam sesi pleno dan menyertai dialog bertajuk 'Asean Interconnected Future: Linking Energy, Trade & Prosperity."

Perdana Menteri juga menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Malaysia-UAE (CEPA) dan menghadiri majlis anugerah Hadiah Kemampanan Zayed, selain bertemu tokoh korporat syarikat terbesar UAE untuk membincangkan peluang pelaburan.

Ini lawatan pertama Perdana Menteri ke luar negara sejak Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN 2025 pada 1 Januari lalu.