Duta Perancis ke Malaysia Axel Cruau berkata Perancis berhasrat mengukuhkan dialog dengan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN untuk melihat bagaimana Perancis dan Kesatuan Eropah dapat bekerjasama dengan ASEAN dalam pelbagai keutamaan termasuk pembangunan dan tenaga.
"Secara umum, kami mengharapkan Kepengerusian ASEAN yang sangat aktif. Kami tahu bahawa Malaysia mempunyai banyak kepentingan manakala keterangkuman dan kemampanan ialah dua moto utama.
"Kami di sini untuk bekerja lebih rapat lagi dengan Malaysia dan seluruh ASEAN dan Perancis ialah rakan kongsi ASEAN, dan kami ingin melakukan banyak perkara dengan ASEAN keseluruhannya dan perkara itu semestinya antara keutamaan kami," katanya dalam sidang media di atas kapal perang French Navy Air Defense Destroyer di Terminal Kapal Persiaran Swettenham Pier di sini pada Selasa.
Cruau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga terlibat secara aktif dalam Kepengerusian ASEAN 2025.
"Seperti yang anda maklum, beliau (Anwar) dalam perjalanan ke Eropah dan akan ke Brussels (Belgium) dalam beberapa hari lagi. Kita berharap mendapat berita yang amat positif semasa perjalanan beliau," katanya.
Malaysia secara rasmi memegang jawatan Pengerusi ASEAN bermula 1 Jan dengan tema "Keterangkuman dan Kemampanan", dan tahun ini menandakan kepengerusian buat kali kelima selepas 1977, 1997, 2005 dan 2015.
Terdahulu, Cruau dan lebih 50 anggota tentera laut Perancis memberikan penghormatan kepada anak kapal pemusnah Perancis, Mousquet, yang karam semasa Perang Dunia Pertama di lautan Pulau Pinang oleh kapal Jerman, Emden, di Gereja Assumption di sini.
Beliau memberikan penghormatan kepada 43 kelasi yang maut pada 28 Okt 1914, apabila Mousquet karam selepas cuba campur tangan dalam serangan Jerman, yang turut memusnahkan kapal Rusia, Zhemchug.
Pada masa ini, French Carrier Strike Group (CSG) yang terdiri daripada kapal pengangkut pesawat Charles De Gaulle, armada udara dan kapal pengiring (kapal pemusnah dan kapal pembekal) singgah di Pulau Pinang dari 12 Jan sebagai sebahagian daripada Misi CLEMENCEAU 25.
Menurut Kedutaan Perancis di Malaysia, CSG Perancis dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan mengambil bahagian dalam edisi keempat eksesais multinasional LA PEROUSE anjuran Tentera Laut Perancis, melibatkan lapan negara - Australia, Kanada, Perancis, India, Malaysia, Singapura, United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Eksesais keselamatan maritim ini akan berlangsung secara serentak di tiga kawasan, iaitu Selat Melaka, La Sunda, dan Lombok, Indonesia dan interaksi dirancang merangkumi pelbagai operasi keselamatan maritim.
Di Selat Melaka, Tentera Laut Perancis akan mengerahkan kapal pemusnah pertahanan udara dan TLDM akan terlibat dengan sebuah Korvet (kapal perang kecil) dan sebuah kapal peronda luar pesisir.
-- BERNAMA