SEREMBAN: Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) perlu memastikan tahap kebersihan di daerah itu diuruskan dengan baik bersempena dengan kedudukan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN bermula bulan ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata kerajaan negeri telah mengambil langkah proaktif mengadakan perbincangan dengan MBS dan MPPD dalam memastikan perjalanan beberapa mesyuarat yang akan berlangsung di negeri ini berjalan lancar.

"Saya telah berjumpa dengan MPPD dan MBS, saya mahukan bandar ini diambil perhatian supaya lebih bersih, landskapnya lebih terpelihara, pastikan suasana lebih baik, itu yang paling penting," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO di Wisma Negeri di sini hari ini.

Port Dickson antara daerah terpilih menjadi satu daripada lokasi berlangsungnya mesyuarat itu yang dijangka sekitar September dan Oktober. .

Malaysia secara rasmi mengambil alih Kepengerusian ASEAN bermula 1 Jan 2025 dengan tema "Keterangkuman dan Kemampanan" yang mencerminkan aspirasi negara untuk membentuk ASEAN yang bersatu dan makmur.

Malaysia pernah menjadi Pengerusi ASEAN pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

-- BERNAMA