KUALA LUMPUR: Malaysia berusaha untuk mengukuhkan lagi rantaian bekalan dalam sektor semikonduktor dengan negara-negara anggota ASEAN sejajar dengan kepengerusian ASEAN oleh Malaysia tahun ini, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong.


Ringkasan AI
  • Malaysia berusaha mengukuhkan rantaian bekalan semikonduktor dengan negara ASEAN tanpa bersaing.
  • Malaysia, Vietnam, dan Singapura perlu bekerjasama menghadapi cabaran global dalam sektor semikonduktor.
  • Pelan Strategik AEC 2026-2030 dijangka dilancarkan pada Mei 2025 sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.


Beliau bagaimanapun berkata Malaysia tidak berhasrat untuk bersaing dengan negara jiran atau negara anggota ASEAN lain dalam usaha memperkukuh rantaian bekalan terutama dalam sektor semikonduktor di rantau ini.

"Ramai yang mengatakan Malaysia bersaing dengan Vietnam, bersaing dengan negara jiran, tetapi semangat ASEAN adalah kita tidak anggap negara jiran atau rakan kita dalam ASEAN sebagai pesaing.

"Kita ingin kukuhkan rangkaian bekalan seperti dalam sektor semikonduktor," katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Kesavadas Achyuthan Nair yang ingin tahu mengenai pertumbuhan ekonomi yang adil dalam kalangan negara anggota ASEAN dan rancangan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dalam mengemudi ketegangan geopolitik dan perdagangan global.

Menurut Liew, Malaysia, Vietnam dan Singapura adalah negara ASEAN yang memainkan peranan penting dalam sektor semikonduktor global dan perlu bekerjasama dalam menghadapi cabaran global.

"Kita berharap boleh kukuhkan rantaian bekalan ini supaya sekiranya ada apa-apa gangguan dan masalah secara global, tiga negara ini boleh menghadapi cabaran ini bersama," kata beliau.

Dalam pada itu, Liew berkata Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) pada masa ini sedang memuktamadkan Pelan Strategik AEC 2026-2030 yang dijadual dilancarkan pada Mei 2025 bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan.

"Pelan Strategik AEC ini dijangka dilancarkan bersama Visi Komuniti ASEAN 2045.

"Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, adalah penting bagi Malaysia terus memainkan peranan yang proaktif dan progresif untuk meneraju agenda ASEAN ke arah merealisasikan pembentukan Pelan Strategik AEC pada 2025," katanya

-- BERNAMA