Beliau berkata, hasil usaha bersama China dan negara ASEAN, Laut China Selatan kekal aman dan stabil tahun lepas serta menjadi perairan paling selamat dan sibuk untuk pelayaran dan penerbangan antarabangsa.
Menurut Wang, China dan Indonesia telah menandatangani dokumen antara kerajaan mengenai pembangunan bersama maritim, manakala China dan Malaysia telah melancarkan dialog dua hala mengenai pengurusan isu maritim.
China juga telah mewujudkan mekanisme dialog maritim dengan semua negara berkepentingan, katanya pada sidang media di luar sesi tahunan badan perundangan negara itu.
"Ini membuktikan bahawa tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan melalui dialog dan tiada matlamat yang tidak boleh dicapai dengan kerjasama," katanya.
Bagi mencapai kejiranan baik serta keamanan dan keselamatan berpanjangan di Laut China Selatan, beliau menegaskan keperluan kepada kepercayaan dan peraturan, dengan pelaksanaan Deklarasi Tatalaku Pihak-pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (DOC) dan pembangunan COC yang kukuh sebagai kuncinya.
Dengan pemudah cara oleh China, rundingan mengenai COC semakin dipercepatkan dan bacaan ketiga teksnya telah selesai.
"Kami yakin sepenuhnya dengan prospek pemuktamadan COC," kata Wang.
- BERNAMA-XINHUA
