PHNOM PENH: Walaupun kemunculan Subkawasan Mekong Besar (GMS) tidak menimbulkan cabaran serius terhadap peranan utama ASEAN dalam seni bina keselamatan serantau Asia Tenggara, pakar percaya ia berpotensi untuk melengkapkan usaha ASEAN dalam memajukan integrasi serantau.

GMS yang dimulakan oleh Bank Pembangunan Asia pada 1992, terdiri daripada Kemboja, Laos, Myanmar, Thailand, Vietnam serta wilayah Yunnan dan Guangxi di China.

Pakar serantau menganggap GMS sebagai rangka kerja pelengkap untuk memperdalam integrasi serantau dan memupuk kerjasama yang lebih erat antara tanah besar dan maritim Asia Tenggara.

Negara anggota ASEAN -- dengan populasi 670 juta orang -- boleh memanfaatkan kekayaan sumbernya daripada tenaga elektrik, hasil marin kepada mineral.

Menurut Suruhanjaya Sungai Mekong, sungai itu mempunyai kira-kira 20,000 spesies tumbuhan dan 1,148 spesies ikan, serta membekalkan hampir 2.3 juta tan ikan setiap tahun.

Profesor Adjung Hal Ehwal Serantau dan Global Universiti Malaya Datuk Dr Ilango Karuppanna berkata ASEAN yang terdiri daripada 10 negara anggota perlu meningkatkan penglibatannya dengan GMS untuk mengekalkan integrasi ASEAN.

"Walaupun GMS bukan aktiviti arus perdana ASEAN, ia sangat penting untuk integrasi ASEAN. Mekong adalah analog dengan Laut China Selatan. Kedua-duanya mempunyai isu kedaulatan, namun juga menawarkan peluang dan cabaran.

"Kita mahu GMS menjadi sebahagian daripada ASEAN dan melengkapinya, bukan dilihat sebagai kumpulan saingan yang didorong oleh China," katanya kepada Bernama.

Ahli GMS adalah sebahagian daripada Sungai Mekong yang penting sebagai sumber makanan, sumber air dan mata pencarian bagi jutaan penduduk.

Ia juga menjadi laluan pengangkutan penting bagi negara-negara di rantau ini.

Sungai terpanjang di Asia Tenggara sepanjang kira-kira 4,900 kilometer (km) itu mengalir dari China melalui Myanmar, Laos, Thailand, Kemboja dan Vietnam.

Profesor Emeritus Carlyle Thayer dari Sekolah Kemanusiaan dan Sains Sosial UNSW Canberra berkata beberapa negara GMS -- Kemboja, Laos dan Vietnam -- telah menyertai ASEAN dan komited terhadap dasarnya.

"Ahli Subkawasan Mekong Besar berkongsi minat yang sama dalam membangunkan sumber Mekong untuk manfaat bersama.

"Namun, ini adalah asas yang tidak mencukupi untuk mereka berkembang menjadi blok bersatu yang mencabar ASEAN atau mempengaruhi ASEAN mengenai kepentingan serantau utama," kata Thayer.

ASEAN terus menjadi asas kerjasama dan keselamatan serantau, menganggap semua negara anggota sebagai sama walaupun terdapat jurang pembangunan sejak penubuhannya pada 1967.

"ASEAN menyedari terdapat jurang pembangunan antara anggota dan cukup bertolak ansur jika ada ahli yang ketinggalan dalam memenuhi komitmen mereka. ASEAN bergerak pada kadar yang selesa untuk semua," kata Thayer.

Ekonomi GMS menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan. Dengan populasi 326 juta, perdagangan intra-tahunan kumpulan itu mencecah RM3.8 trilion (US$837 bilion) pada 2022.

Misi GMS-2030 menekankan komuniti, kesalinghubungan dan daya saing. Menurut laman sesawangnya, agenda utamanya termasuk kelestarian alam sekitar, integrasi dalaman dan luaran, serta keterangkuman.

"GMS, dengan tumpuannya pada pembangunan ekonomi dan kesalinghubungan antara negara anggota, melengkapkan dan tidak menjejaskan usaha ASEAN," kata Thayer.

ASEAN akan terus menjadi tunjang kestabilan serantau, mengurus pelbagai kepentingan dengan berkesan dan memupuk perpaduan dalam kalangan negara Asia Tenggara.

-- BERNAMA