Ringkasan AI
- ASEAN kekal menggunakan diplomasi pertahanan dan mematuhi undang-undang antarabangsa dalam keselamatan maritim untuk menangani isu tuntutan bertindih di Laut China Selatan.
- Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, menekankan pentingnya keselamatan maritim bagi kedaulatan negara, keselamatan perairan, dan kepentingan ekonomi serantau, serta mengingatkan bahawa ASEAN harus menjadi platform rundingan untuk memastikan kestabilan tanpa pengaruh luar.
- ASEAN perlu memberi perhatian serius terhadap keselamatan infrastruktur kabel dasar laut dan memperkukuh keselamatan makanan serta kerjasama menangani jenayah rentas sempadan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, majoriti negara ASEAN adalah negara maritim termasuk Malaysia yang memiliki empat perairan strategik.
“Malaysia ada Laut Sulu, Laut Sulawesi, Laut China Selatan dan Selat Melaka. Jadi, keselamatan maritim isu penting yang tidak boleh dielakkan. Ini kerana ia membabitkan kedaulatan negara, keselamatan perairan serta kepentingan ekonomi serantau.
“Tuntutan bertindih dan sumber yang ada di perairan ASEAN menjadikan usaha mengekalkan kestabilan sebagai cabaran utama,” katanya dalam sidang media selepas Sesi Permukiman Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) di Batu Ferringhi, di sini, pada Rabu.
Jelasnya, negara-negara ASEAN sudah melihat bagaimana pertembungan kepentingan di perairan tertentu boleh mencetuskan konflik berpanjangan.
“Oleh itu, kita mahu ASEAN kekal sebagai platform rundingan yang memastikan kestabilan tanpa membiarkan negara luar mempengaruhi dasar pertahanan rantau ini,” katanya.
Ditanya sama ada ASEAN akan meningkatkan latihan ketenteraan maritim, Khaled berkata, ASEAN telah mengadakan pelbagai latihan ketenteraan secara multilateral antara negara anggota serta beberapa negara kuasa luar.
“Namun, kita perlu memastikan bahawa kehadiran aset ketenteraan ini tidak mencetuskan peningkatan konflik. Kita mahu keseimbangan antara pertahanan dan diplomasi dikekalkan agar tidak menjejaskan kestabilan serantau,” ujarnya.
Beliau turut menekankan bahawa setiap negara, sama ada anggota ASEAN atau bukan ASEAN harus sentiasa menegakkan undang-undang laut antarabangsa bagi mengelakkan konfrontasi terbuka.
“Kita tidak mahu ada pihak yang mengambil kesempatan di atas sebarang kelemahan dalam pengurusan keselamatan maritim.
"Atas sebab itu ASEAN perlu bersatu dalam pendirian dan memastikan setiap langkah diambil berpandukan perundangan antarabangsa,” ujarnya.
Dalam pada itu, Khaled turut menegaskan, ASEAN perlu memberi perhatian serius terhadap keselamatan infrastruktur kabel dasar laut bagi mengelakkan ancaman yang boleh menjejaskan kestabilan rantau ini.
Antara isu lain yang dicapai melalui sesi kali ini adalah usaha memperkukuh keselamatan makanan dan kerjasama menangani jenayah rentas sempadan.
