Pesawat Gulf V yang beroperasi di Pangkalan Udara Haneda, diterbangkan ke Malaysia sempena kursus latihan berkaitan kesedaran penguasaan maritim (MDA) anjuran Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Dadah dan Jenayah (UNODC) selama dua hari bermula semalam.
Timbalan Komandan Operasi JCG, Laksamana Muda Kanosue Hiroaki berkata, pesawat itu akan memainkan peranan penting dalam pengawasan maritim di perairan Asia Tenggara, termasuk perairan Malaysia.
Beliau berkata, JCG telah menghantar pesawatnya ke Malaysia untuk mempamerkan teknik pengawasan lautan sebagai sebahagian daripada latihan terbabit, yang melibatkan pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan latihan itu bertujuan meningkatkan keupayaan penguatkuasaan serantau dengan berkongsi kepakaran Jepun dalam pengawasan maritim dan pengumpulan maklumat.
"Kami menggunakan peluang ini untuk melawat APMM dan membincangkan cara untuk mengukuhkan lagi kerjasama antara kedua-dua agensi," katanya pada sidang media sempena Demonstration Flight Relevant to UNODC Training Course for MDA di Subang SkyPark, di sini, pada Rabu.
Kanosue berkata, latihan itu turut melibatkan penyertaan dari Indonesia dan Filipina, yang memberi peluang untuk menyaksikan secara langsung bagaimana JCG menjalankan operasi pengawasan udara, termasuk teknik pengumpulan data di laut.
"Latihan itu meliputi ceramah, sesi pemerhatian di atas kapal, dan demonstrasi amali untuk menyediakan kemahiran kepada pegawai yang boleh digunakan untuk meningkatkan penguatkuasaan di negara masing-masing," katanya.
Beliau turut menyatakan keyakinan inisiatif itu mampu memperkukuh kerjasama antara agensi penguatkuasaan maritim di seluruh Asia Tenggara, seterusnya memupuk keselamatan serantau yang lebih kukuh dan kerjasama lebih erat.
Sementara itu, Ketua Unit Udara Stesen Udara Kota Kinabalu, Komander (M) Mohd Hafizi Mohd Nor menekankan kepentingan kerjasama berterusan dalam berkongsi data operasi dan kemajuan dalam teknologi penerbangan.
"Kami harap JCG akan terus menyokong kami dalam perkongsian data antara semua platform pesawat, yang akan nemanfaatkan operasi APMM. Kerjasama dua hala ini akan membolehkan kami memperoleh pandangan berharga dan kemajuan teknologi daripada rakan sejawatan kami di JCG," katanya.
Beliau turut menekankan kepesatan kemajuan teknologi Jepun, sambil menyatakan keyakinan bahawa kerjasama seumpama itu akan membantu APMM meningkatkan keupayaan teknologi dan keberkesanan operasi dalam pengawasan serta penguatkuasaan maritim.
Inisiatif itu juga, katanya, mencerminkan komitmen APMM untuk memanfaatkan kerjasama antarabangsa dalam memperkukuh keselamatan maritim negara. - BERNAMA
