MOSTI berkata, pusat yang pertama seumpamanya di Malaysia itu turut memainkan peranan penting dalam pembangunan bakat dan membekalkan tenaga kerja Malaysia dengan kemahiran khusus yang diperlukan untuk cemerlang dalam era kuantum.
"Dengan memupuk kepakaran tempatan dan menarik kerjasama global, Pusat Kecerdasan Kuantum MIMOS akan menjadi pemangkin bagi meletakkan Malaysia sebagai pemain utama dalam landskap kuantum antarabangsa," menurut kenyataan itu.
Pusat berkenaan dirasmikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang sempena MIMOS Quantum Day 2025 bertemakan 'Membentuk Masa Depan dengan Kecerdasan Kuantum' pada Selasa.
Menurut kenyataan itu, pembukaan pusat tersebut sejajar dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Kebangsaan (DSTIN) MOSTI 2021-2030 selain melengkapkan usaha Malaysia untuk lebih ke hadapan dalam teknologi tinggi seperti teknologi kuantum dan kecerdasan buatan (AI).
Selain itu, MIMOS turut menandatangani perjanjian kerjasama dengan SDT Inc. dari Korea untuk menubuhkan Lembah Kuantum Malaysia, iaitu hab inovasi yang dinamik.
MOSTI memaklumkan, hab tersebut akan berfungsi sebagai ekosistem yang berkembang pesat, dengan syarikat antarabangsa, syarikat pemula dan pelabur boleh menubuhkan serta mengembangkan inisiatif Rantaian Bekalan Kuantum mereka.
"Hab ini akan disediakan dengan infrastruktur bertaraf dunia, memupuk kerjasama rentas sempadan, dan menarik pelaburan luar bernilai tinggi bagi mempercepatkan pengkomersialan teknologi kuantum Malaysia," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, program MIMOS Quantum Day 2025 berperanan sebagai platform penting dalam perkongsian ilmu dan kerjasama industri dengan penglibatan lebih 200 peserta termasuk penyelidik, usahawan dan pembuat dasar berbincang mengenai penemuan terkini, aplikasi serta cabaran dalam pengkomputeran, komunikasi dan keselamatan kuantum.
Acara utama merangkumi perbincangan panel mengenai status penyelidikan kuantum dan potensinya terhadap industri di Malaysia, pembentangan mengenai kemajuan teknologi berkenaan di Korea serta usaha memperkukuh kerjasama dua hala dan bengkel interaktif bagi meneroka aplikasi pengkomputeran kuantum. - BERNAMA
