Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin berkata, ia merupakan antara lima teras yang akan diusul Malaysia semasa Sesi Pemukiman Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) pada Rabu.
“Kebebasan navigasi di perairan strategik itu perlu dijunjung mengikut perundangan antarabangsa bagi memastikan kestabilan serantau.
“Kita mahu elakkan konflik sedemikian terus berlaku di Laut China Selatan dan seboleh-bolehnya memastikan kurangnya peningkatan aset-aset ketenteraan di situ,” katanya ketika sidang media selepas melawat persiapan Sesi Pemukiman ADMM di sebuah hotel di Batu Ferringhi, di sini, pada Selasa.
Selain itu, Khaled berkata, usaha mengawal salah guna kecerdasan buatan (AI) dalam sektor pertahanan termasuk memperkukuh keselamatan siber turut menjadi tumpuan utama.
“Kecanggihan teknologi dan AI memang membantu usaha mempertingkat pertahanan dan keselamatan negara tapi pada masa penyalahgunaannya juga memberi ancaman.
“Atas faktor itu Malaysia usulkan untuk kita bincang dan tahu apakah jurang di setiap negara mengenai kemajuan teknologi dan AI ini,” ujarnya.
Tiga lagi usul lain ialah cadangan mewujudkan bantuan kemanusiaan dan bantuan bencana untuk membantu negara ASEAN sekiranya terdapat sebarang bencana dengan skop berbeza berbanding pasukan pengaman.
Khaled berkata, beliau juga akan menyuarakan agar terdapat kerjasama untuk membangunkan industri pertahanan tempatan.
Ini dapat dijayakan melalui satu modul untuk memajukan rantaian pembekalan pertahanan bagi keperluan negara ASEAN.
“Kelima ialah memantau ancaman daripada aktor bukan negara iaitu keselamatan bio (bio-security). Ini tidak mustahil boleh terjadi dengan adanya kumpulan pengganas dan jenayah besar, maka perbincangan harus dibuat,” katanya.
Lebih 150 delegasi dari 10 negara anggota ASEAN, negara pemerhati Timor-Leste dan Sekretariat ASEAN dijadual menghadiri sesi pemukiman ini yang secara rasmi bermula jam 9 pagi pada 26 Februari.
