PUTRAJAYA: Kerajaan memberi jaminan beras putih tempatan (BPT) bersubsidi yang mula dijual 1 Mac ini, tidak akan 'ghaib' di pasaran.

Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras Datuk Badrul Hisham Mohd berkata keyakinan itu adalah kekuatan Agensi Regulatori dan Penguatkuasaan Agromakanan Malaysia (MAREA) dan sistem kecerdasan buatan (AI) dengan kemampuan mengesan dan menjejak.

"Setiap BPT peknya akan dikawal menggunakan dua lapisan kawalan iaitu MAREA dengan kekuatan 1,200 anggota membantu penguatkuasaan.

"Jadi kami yakin dengan kapasiti itu (dan) ditambah dengan sistem AI yang digunakan untuk membuat pengesanan dan penjejakan, maka kita yakin subsidi ini akan menitik terus kepada kumpulan sasaran," katanya dalam sidang media khas berkenaan mekanisme pelaksanaan subsidi BPT, di sini hari ini.

Badrul Hisham berkata setiap kampit beras akan ada tag untuk tujuan penjejakan dan pengesanan sekiranya ada sebarang manipulasi, serta bilik gerakan 24 jam untuk pemantauan.

[TERKINI] Beras bersubsidi RM26 untuk keluarga miskin mula 1 Mac

"Ini program berstruktur selama enam bulan dengan insentif RM150 juta dan kita akan pastikan faedah maksimum kepada rakyat," katanya.

Pada 13 Feb, dilaporkan kerajaan memperuntukkan insentif RM150 juta kepada pengilang padi di seluruh negara untuk enam bulan pertama tahun ini, untuk membolehkan BPT berada di pasaran.

Melalui inisiatif itu, sejumlah 24 juta kampit BPT berat 10 kilogram berharga RM26, akan mula berada di pasaran secara berperingkat.

Badrul Hisham berkata semua pihak diminta memahami bahawa BPT bersubsidi itu adalah bantuan kerajaan kepada golongan yang memerlukan dan bukannya untuk diniagakan.

Tegasnya, sekiranya ada elemen manipulasi atau insiden sorok beras, pasukannya tidak akan berdiam diri.

"Sebab itu saya kata kita tak wajibkan tunjuk IC (kad pengenalan), bagi identiti (untuk pembelian). Kita nak latih rakyat untuk faham dasar kerajaan untuk siapa dan siapa patut beli.

"Kita cuba tetapkan (dan) mendidik dulu, kalau yang ini tidak menjadi maka kita akan bergerak ke fasa seterusnya," katanya.

Ditanya tindakan terhadap warga asing yang membeli BPT bersubsidi, beliau berkata keutamaan adalah kepada rakyat terutama golongan miskin.

"Kita sedang berbincang mendapatkan keputusan daripada kerajaan supaya BPT hanya untuk rakyat sahaja, sebab kita tahu kerajaan mahu membantu rakyat kita," katanya.

Badrul Hisham berkata sekiranya terdapat aduan manipulasi, peruncit berlesen yang akan diambil tindakan kerana gagal patuh kepada tatacara penjualan.

-- BERNAMA