Timbalan Menterinya, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, KPKM sentiasa memberi perhatian terhadap isu tersebut dan buktinya, dari Jun 2023 sehingga 19 September 2024, sebanyak enam juta kampit beras putih tempatan 10 kilogram telah diedarkan di seluruh negara.
Menurutnya, dalam usaha untuk menangani isu keberadaan beras putih tempatan di pasaran, KPKM kini giat melaksanakan rombakan strategi melalui pelaksanaan reformasi industri padi dan beras.
“Antara langkah yang diambil dalam pelaksanaan reformasi ini adalah seperti pemantapan tata kelola melalui pengasingan kuasa melibatkan Bahagian Pembangunan Industri Padi (PIP), Kawalselia Padi Beras (KPB) dan wakil kerajaan dalam Padiberas Nasional Berhad (BERNAS).
“Kedua, mewujudkan peraturan baharu larangan percampuran beras putih tempatan dengan beras putih import.
“Ketiga: Penggabungan penguatkuasa di bawah KPKM bagi memperkukuh kawal selia sektor agromakanan.
“Keempat: Reformasi pentadbiran Lembaga Pertubuhan Peladang dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS),” katanya.
Jelasnya, kementerian berharap segala usaha sedang dilaksanakan untuk mereformasikan sektor padi dan beras akan mendapat sokongan dari semua pihak demi kebaikan serta masa depan industri padi dan beras negara.
Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat pada Khamis, menjawab isu kekurangan beras putih tempatan di pasaran yang dibangkitkan Misbahul Munir Masduki (PN - Parit Buntar).