PUTRAJAYA : Empat strategi utama akan dilaksanakan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi menyelesaikan isu kekurangan beras putih tempatan (BPT).

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, salah satu daripadanya adalah pengasingan kuasa beberapa agensi yang akan dilakukan segera.

“Pengasingan kuasa ini bagi tujuan tindakan penguatkuasaan membabitkan Bahagian Pembangunan Industri Padi (PIP), Kawalselia Padi Beras (KPB) dan wakil kerajaan dalam Padi Beras Nasional (BERNAS).

“Kedua ialah tujuh agensi penguat kuasa KPKM akan digabungkan di bawah satu entiti yang namanya akan dimaklumkan kelak.

“Ia melibatkan Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis), Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perhimpunan bulanan kementerian, di sini, pada Rabu.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu kerajaan turut memperkenalkan Peraturan Melarang Campuran Beras Putih Tempatan dengan beras putih import.

Jelasnya, pekeliling mengenai peraturan berkenaan akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

Bagi memastikan isu itu ditangani secepat mungkin, reformasi pentadbiran turut dilaksanakan melibatkan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).