Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata garis panduan yang akan digubal tahun ini itu selaras dengan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
"Ketika Multaqa Sultan Sharafuddin Idris Shah: Ilmu Tasawuf Merungkai Masalah Ummah pada 25 Nov lepas, baginda bertitah mengenai keperluan mewujudkan garis panduan khusus mengenai amalan tarekat.
"Satu daripada resolusi yang dikeluarkan adalah keperluan merangka undang-undang, pewartaan fatwa, enakmen, panduan atau silibus khas berkaitan penguatkuasaan bagi mengekang fahaman ekstrem dan penularan ideologi sesat yang akan mencemar nama baik Islam di Selangor," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan lisan Mu'izzuddeen Mahyiddin (PN-Hulu Bernam) berhubung keperluan mewujudkan enakmen berkaitan tarekat seperti yang dilaksanakan di Negeri Sembilan.
Mohammad Fahmi berkata kerajaan negeri melalui Jabatan Mufti Selangor optimis dengan garis panduan yang akan diwujudkan sebagaimana usaha dilakukan Negeri Sembilan yang mewujudkan Enakmen Tarekat Tasawuf 2005.
Menjawab pertanyaan Noor Najhan Mohamad Salleh (PN-Sementa) berhubung kemungkinan kewujudan amalan tarekat yang dikenal pasti sesat dan tindakan terhadap pihak terlibat, Mohammad Fahmi berkata soal tarekat yang menyimpang perlu dirujuk kepada Jabatan Mufti.
Beliau turut memaklumkan tindakan tidak dapat diambil berikutan tiada garis panduan dan asas bagi bertindak sedemikian, selain soal berkaitan kesalahan dari segi akidah yang tidak mudah untuk memperoleh bukti.
"Harapan saya dengan garis panduan itu, ia berguna untuk masyarakat menilai mana (amalan) yang baik dan tidak baik, selain tindakan penguatkuasaan juga boleh kita lakukan melaluinya," katanya.
-- BERNAMA
