GEORGE TOWN: Malaysia komited memperkukuh hubungan pertahanan serantau menerusi pertemuan dua hala secara berasingan membabitkan Brunei Darussalam, Timor-Leste dan Sekretariat ASEAN.

Perkara itu dicapai selepas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertahanan Brunei Darussalam, Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi Haji Mohd Yussof.

Antara lain ialah Menteri Pertahanan Timor-Leste, Laksda Donaciano Do Rosario Da Costa Gomes serta Timbalan Setiausaha Agung Sektariat ASEAN, Datuk Astanah Abdul Aziz.

Pertemuan pada Sesi Permukiman Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) di sebuah hotel di Batu Ferringhi, di sini, pada Selasa itu memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama serantau.

Ini termasuk penglibatan bersama dalam misi pengaman seperti Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT).

“Kedua-dua pihak sependapat bahawa platform ADMM memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan pertahanan dalam kalangan negara anggota ASEAN.

“Pertemuan itu juga menjadi landasan strategik bagi membincangkan cabaran keselamatan serantau serta langkah-langkah yang boleh diambil secara bersama,” kata kenyataan Kementerian Pertahanan Malaysia pada Selasa.

Sesi Permukiman ini diadakan bagi memperkukuh persefahaman antara negara anggota dalam menghadapi ancaman keselamatan yang semakin kompleks di rantau ini.