LANGKAWI: Kod Tatalaku (COC) Laut China Selatan, inisiatif yang bermatlamat menyelesaikan pertikaian sempadan di lautan tersebut, masih dalam perbincangan di peringkat awal.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, masih pramatang untuk membincangkan hasil akhir kod tersebut kerana banyak perkara teknikal yang perlu diperhalusi, termasuk mekanisme pelaksanaan dan tahap komitmen semua pihak yang terlibat.

“Malaysia terutamanya, selaku negara rakan kongsi China untuk tiga tahun akan datang, akan cuba memastikan rundingan berjalan mengikut jadual.

“Sekarang, ia di bahagian Jawatankuasa Teknikal Bersama. Ia belum sampai ke peringkat kami (menteri),” katanya.

Mohamad berkata demikian dalam sidang media seusai Sesi Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN 2025 di sini, hari ini.

Tambahnya, semua pihak yang terlibat kini dalam proses awal mengumpul isu dan cabaran yang perlu dibincang dan diselesaikan, sebelum kod tersebut dapat direalisasikan.

“Biar jawatankuasa teknikal melihat dahulu perkara ini.

“Mereka sedang berbincang, mereka akan kumpulkan semua isu yang berbangkit, dan kemudian mereka akan membawanya ke Mesyuarat Pegawai Peringkat Tertinggi (SOM), dan kemudian ke peringkat kami (menteri),” katanya.

Pertikaian persempadanan Laut China Selatan melibatkan tuntutan bertindih terhadap beberapa pulau, terumbu dan zon maritim oleh China, Vietnam, Filipina, Malaysia, Brunei dan Taiwan.

Ia antara lain melibatkan Kepulauan Spratly dan Paracel, serta Terumbu Scarborough.

Tindakan China meletakkan Sembilan Garis Putus atau 'Nine Dash Line' secara unilateral yang memasukkan perairan sekitar Natuna di dalam sempadannya, menjadi punca ketegangan berterusan antara negara gergasi itu dengan negara-negara ASEAN.