Buku komik setebal 40 muka surat itu, yang dilancarkan oleh pegawai Filipina, menggunakan watak seorang guru dan pelajar-pelajar muda dalam bentuk karikatur berwarna untuk menjelaskan isu pertikaian wilayah yang kompleks dengan cara mudah difahami, sambil menegaskan pendirian Filipina.
Dalam salah satu adegan fiksyen dalam buku itu, seorang pelajar menyifatkan China sebagai pembuli manakala pelajar lain menyatakan tindakan Beijing sebagai melampau.
Penasihat Keselamatan Negara Filipina, Eduardo Ano, ketika berucap pada majlis pelancaran berkata, pegawai China, bersama media yang disokong oleh negara, terus menyebarkan naratif yang diputar belit untuk mencemarkan usaha Filipina dan menghalalkan tuntutan unilateral mereka.
Filipina, katanya, akan melakukan segala yang mampu untuk melawan maklumat salah dan naratif palsu demi mendedahkan kebenaran.
Filipina telah lama berhadapan dengan cabaran besar menentang China, dalam perebutan wilayah di Laut China Selatan.
Masalah itu mendorong Filipina memperkukuhkan hubungan keselamatan dengan Amerika Syarikat dan negara-negara sekutu lain sebagai langkah menghalang tindakan agresif Beijing.
Buku ini disasarkan kepada pelajar muda dan penduduk luar bandar yang kurang akses kepada sumber berita, malah pembaca asing yang berminat juga boleh mendapatkan buku tersebut dalam bahasa masing-masing.
Laut China Selatan, yang merupakan laluan perdagangan global utama dengan kawasan perikanan kaya serta simpanan gas bawah laut, turut menjadi tuntutan oleh negara-negara lain seperti Vietnam, Malaysia, Brunei dan Taiwan.
Setakat ini, belum ada komen rasmi daripada pihak China, namun mereka sebelum ini berulang kali mempertahankan tuntutan terhadap hampir keseluruhan perairan tersebut dan menuduh Filipina serta negara-negara lain sebagai penceroboh.