Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata senario itu menggalakkan perbezaan kadar faedah yang lebih kecil dan menyebabkan ramai pengeksport bertindak melepaskan pegangan dolar AS menjelang pengumuman data gaji bukan perladangan lewat malam ini.
Pada 6 petang, ringgit mengukuh ke paras 4.4110/4145 berbanding dolar AS daripada 4.4230/4270 pada akhir urus niaga semalam.
"Pasaran jelas cenderung untuk meningkat dan boleh mendorong kelemahan dolar AS pada minggu depan, sekali gus memberi kelebihan kepada ringgit.
"Jika data gaji bukan perladangan tidak memberangsangkan dan mengukuhkan haluan Fed untuk menurunkan kadar faedah, momentum ringgit juga dijangka berterusan," katanya kepada Bernama.
Pada masa ini, beliau berkata kelebihan itu berpihak kepada ringgit dengan unit tempatan itu memanfaatkan kestabilan domestik dan cabaran luaran.
Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kelompok mata wang utama.
Ringgit rendah berbanding pound Britain kepada 5.7070/7115 daripada 5.6964/7015, susut berbanding euro kepada 4.7903/7941 daripada 4.7773/7816 semalam namun meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.9909/9935 daripada 2.9940/9969 sebelum ini.
Berbanding mata wang ASEAN, ringgit diniagakan bercampur-campur, termasuk meningkat sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.3185/3214 daripada 3.3186/3218 semalam.
Ringgit bagaimanapun susut berbanding baht Thailand kepada 13.1124/1290 daripada 13.0939/1124 sebelum ini dan tidak berubah berbanding rupiah Indonesia pada 270.6/271.0.
Mata wang tempatan itu juga kekal berbanding peso Filipina pada 7.71/7.73.
-- BERNAMA
