SHAH ALAM: Polis sedang mengesan individu yang merakam detik ibu Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin berjalan sambil memimpin tangan dua anaknya sebelum video itu dimuat naik ke media sosial, baru-baru ini.


Ringkasan AI
  • Polis sedang mengesan individu yang merakam video Ismanira berjalan dengan anak-anaknya sebelum dimuat naik ke media sosial.
  • Siasatan dijalankan untuk memastikan kaitan video tersebut dengan kes pembunuhan Zayn Rayyan.
  • Keterangan ibu Zayn Rayyan telah dirakam, dan laporan dirujuk ke IPD Petaling Jaya untuk siasatan lanjut.


Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya kini menumpukan siasatan bagi mengenal pasti sumber asal atau individu yang merakam video terbabit.

“Seterusnya, siasatan lanjut akan dijalankan untuk memastikan sama ada rakaman video berkenaan mempunyai sebarang kaitan dengan kes pembunuhan Zayn Rayyan,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya telah merakam keterangan ibu kepada kanak-kanak autistik itu berhubung video terbabit.

"Proses rakaman keterangan pengadu dijalankan pada Isnin lalu," katanya.

Bagaimanapun, Mohd Hafiz memaklumkan bahawa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh tidak akan menjalankan siasatan lanjut kerana kejadian asal berlaku di bawah kawasan pentadbiran IPD Petaling Jaya.

“Justeru, laporan terbabit telah dirujuk semula kepada laporan pertama iaitu di IPD Petaling Jaya,” katanya.

Pada Selasa, media melaporkan Balai Polis Kampung Baru Subang menerima laporan daripada ibu Zayn Rayyan, Ismanira berhubung video berkenaan pada jam 2.43 petang Ahad lalu.

Ismanira memaklumkan bahawa dia menerima satu pautan video TikTok melalui aplikasi WhatsApp berdurasi kira-kira seminit pada 6 Mac lalu.

Dalam rakaman tersebut, pengadu dilihat sedang berjalan sambil memegang tangan kedua-dua anaknya, arwah Zayn Rayyan dan Mateen, menuju ke kawasan parkir motosikal Blok R apartment berkenaan. -Sinar Harian