PETALING JAYA: Saksi pendakwaan ke-16 menafikan dia mempunyai "memori yang lemah" berkaitan pakaian yang dipakai oleh ibu Zayn Rayyan semasa berselisih pada hari kejadian, 5 Disember 2023 lalu.


Ringkasan AI
  • Saksi pendakwaan ke-16 menafikan mempunyai "memori yang lemah" mengenai pakaian ibu Zayn Rayyan pada hari kejadian.
  • Peguam bela mendakwa kenyataan saksi berbeza dengan apa yang dimaklumkan kepada mahkamah dan media sebelum ini.
  • Prosiding perbicaraan akan bersambung esok dengan beberapa saksi pendakwaan lagi.


Menurut peguam bela, Haresh Mahadevan yang mewakili tertuduh Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf, kenyataan diberikan Rashidah Rajali, 37, adalah diragui kerana berbeza dengan apa yang dimaklumkan kepada mahkamah dan media sebelum ini.

Saksi yang merupakan seorang suri rumah memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia terserempak dengan ibu mangsa di tangga flat untuk naik ke rumah sebelum tertuduh turun semula untuk mencari anaknya.

Rashidah yang tinggal di aras sama dengan tertuduh yang juga ibu dan bapa arwah Zayn Rayyan di Blok R Apartment Idaman, Damansara Damai memaklumkan perkara berkenaan ketika sesi pemeriksaan balas di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.

Namun, menurut Haresh, perkara itu tidak dinyatakan oleh Rashidah kepada pihak media sebelum ini.

Haresh Mahadevan: Adakah puan ingat apa yang puan maklumkan kepada pihak media?

Rashidah: Apa yang saya ingat, media hanya tanya pasal kawasan rumah dan jiran.

Haresh Mahadevan: Sila beritahu mahkamah, jiran yang anda maksudkan itu siapa?

Rashidah: Maksud saya rumah Zayn.

Haresh Mahadevan: Ada atau tidak anda beritahu pihak media bahawa ibu Zayn semasa terserempak dengan dia ketika di tangga?

Rashidah: Seingat saya tidak.

Perkara itu dimaklumkan saksi pada hari ke-11 prosiding perbicaraan pertuduhan pengabaian dihadapi ibu bapa arwah Zayn Rayyan iaitu Zaim Ikhwan, 30, dan Ismanira, 30, di hadapan Hakim Syahliza Warnoh.

Prosiding perbicaraan akan bersambung esok melibatkan beberapa orang lagi saksi pendakwaan.

Pada 13 Jun 2024, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas satu pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu, dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya di sekitar jalan PJU Damansara Damai pada 12 tengah hari, 5 Dis hingga 9.55 malam, 6 Dis 2023.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 6 Dis 2023, mayat Zayn Rayyan ditemukan di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai dekat sini, selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya. M

Mangsa dipercayai dibunuh apabila bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badan dipercayai akibat mempertahankan diri.