Hakim, Roszianayati Ahmad memutuskan demikian selepas menolak notis usul difailkan Zaim Ikhwan Zahari dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf.
"Pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh tidak cacat, maka permohonan notis ini ditolak," katanya.
Susulan itu, perbicaraan kes berkenaan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya akan berlangsung seperti yang dijadualkan pada 11 Mac ini.
Ketika membaca keputusan ringkas, Roszianayati berkata, mahkamah telah meneliti pertuduhan dihadapi pasangan berusia 30 tahun itu selaku pemohon.
Menurutnya, tiada kecacatan dalam pertuduhan dan ia memenuhi intipati kesalahan dan mengikut kehendak undang-undang.
“Perkara itu akan membolehkan pemohon-pemohon mendapat notis yang mencukupi untuk menjawab pertuduhan dan mengemukakan pembelaan.
“Pertuduhan yang dirangka telah memberikan masa yang mencukupi kepada pemohon yang dikatakan telah mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.
Susulan itu beliau berkata, pihak pendakwaan mempunyai beban untuk membuktikan cara pengabaian itu dilakukan menerusi keterangan yang akan dikemukakan kelak.
Katanya, ia termasuk beban pembuktian bahawa pengabaian itu merupakan sesuatu yang mungkin menyebabkan kecederaan kepada mangsa.
Dalam prosiding ini, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zuhaini Muhamad Amin manakala kedua-dua pemohon, dihadiri oleh peguam, Lavanesh Haresh dan Marcus Lee.
Sementara itu selepas prosiding, Lavanesh berkata, pasukan pembelaan akan berbincang mengenai keputusan tersebut dengan dua anak guamnya, selain mendapatkan arahan sama ada perlu memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan di Putrajaya atau sebaliknya.
Pada 13 Jun tahun lalu, pasangan suami isteri yang berusia 30 tahun itu, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anaknya, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini pada jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 hingga keesokannya pada jam 9.55 malam.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.
Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang, sebelum ditemui terbaring, dengan jarak kira-kira 200meter dari blok kediamannya.
Pada 21 Januari lepas, pasangan itu memfailkan notis usul di Mahkamah Tinggi di sini bagi membatalkan pertuduhan dengan alasan pertuduhan tersebut tidak mendedahkan sebarang kesalahan di bawah Seksyen 31 akta itu.
Mereka turut memohon agar dilepas dan dibebaskan serta-merta. - Sinar Harian
