KUALA LUMPUR: Ratu berbasikal trek negara Nurul Izzah Izzati Mohd Asri berjanji akan menampilkan aksi cemerlang meskipun beraksi ketika berpuasa di Kejohanan Piala Negara-Negara di Konya, Turkiye pada 14 hingga 16 Mac ini.

Atlet mendapat julukan The Pocket Rocketwomen itu mengakui walaupun berpuasa bakal menjadi cabaran besar, beliau tetap menyasarkan untuk menaiki podium selain berhasrat memperbaiki pencapaian tahun lepas pada kejohanan bertaraf dunia itu.

"Sasaran saya memang hendak melakukan lebih baik daripada edisi sebelum ini dan tahun lepas, saya ke final acara keirin. Saya mahu timba pengalaman baharu dengan beraksi bersama pelumba bertaraf dunia.

"Tahun ini, hendak naik podium kalau diberi rezeki. Kejohanan (berlangsung) waktu siang dan saya berpuasa, jadi ia cabaran juga untuk saya," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sempena Ramadan, Nurul Izzah berkata jadual latihannya kini ditukar ke lewat petang, hampir waktu berbuka atau jika tidak, dilakukan pada awal pagi, dengan beliau menambah latihan pada waktu itu berjalan lancar.

Selain itu, Nurul Izzah juga mengubah corak pemakanan seperti melebihkan pengambilan karbohidrat bagi memastikan dirinya kekal bertenaga sepanjang latihan.

"Air pula saya minum secukupnya ketika sahur dan berbuka. Memang (perlu) minum banyak untuk mengelakkan dehidrasi selain kami turut mengambil minuman protein sebelum tidur dan juga semasa bersahur," katanya.

Baru-baru ini, anak jati Sungai Petani, Kedah itu menyinar pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ATC) 2025 dengan merangkul dua pingat emas menerusi acara keirin dan 1 kilometer (km) ujian masa wanita serta gangsa pecut individu selain membantu Malaysia memenangi perak pecut berpasukan.

Lebih manis, atlet berusia 22 tahun itu juga memecahkan rekod Asia 1km ujian masa sebanyak dua kali dengan catatan 1:06.229 saat (s), selain memperbaharui rekod kebangsaan (48.458s) pecut berpasukan bersama Anis Amira Rosidi dan Nur Alyssa Farid.

-- BERNAMA