KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan 57 Ahli Parlimen pembangkang yang tidak menyokong  Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2025, yang diluluskan di Dewan Rakyat hari ini, sebagai telah mengkhianati usaha reformasi institusi Parlimen.

"Namun, ini tidak mengejutkan memandangkan gerombolan yang sama juga telah merobek serta menginjak demokrasi Parlimen dengan menyekat sidang Dewan Rakyat sebelum ini," kata Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah dalam Taklimat Harian oleh Pejabat Perdana Menteri pada Selasa.

Tunku Nashrul menambah, sokongan penuh dua pertiga Ahli Parlimen dalam meluluskan RUU berkenaan, adalah membuktikan betapa kukuh dan stabil Kerajaan Madani di bawah pimpinan Anwar.

Dalam pada itu, dia berkata Perdana Menteri turut menyampaikan penghargaan kepada Ahli Parlimen yang telah memberi sokongan penuh kepada pindaan tersebut, yang menjadi reformasi penting dalam memberikan kematangan kepada sistem demokrasi negara.

"(Pindaan RUU) itu membuka ruang kepada Parlimen untuk menjalankan fungsi dengan lebih bebas, serta menjadikan Parlimen sebagai mercu tanda kebebasan bersuara," kata Tunku Nashrul lagi.

Terdahulu,  RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 diluluskan di Dewan Rakyat bagi membolehkan kerajaan mengembalikan dan menguatkuasakan semula Akta Perkhidmatan Parlimen.

Pindaan RUU itu diluluskan dengan sokongan majoriti dua pertiga Ahli Parlimen menerusi undian belah bahagian, di mana 148 undi menyokong, 57 tidak mengundi dan 17 tidak hadir.

RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said pada minggu lalu, diikuti pembentangan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025.

RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 bertujuan meminda Perlembagaan Persekutuan iaitu Perkara 56 dan Perkara 57 dengan memasukkan Fasal baharu (5A).