Pengarahnya Mohd Razam Taja Rahim berkata angin kuat, cuaca panas dan ketiadaan hujan menyebabkan tanah menjadi kering, sekali gus memudahkan api merebak di kawasan ladang tersebut.
"Kebakaran ini sebenarnya sudah dapat dikawal pada Jumaat lepas dan hampir padam sepenuhnya, namun disebabkan faktor angin kuat, kebakaran telah merebak," katanya.
"Malah, situasi ini turut mengakibatkan gangguan kepada masyarakat di daerah Kuantan yang dipercayai menyebabkan jerebu," katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa melakukan tinjauan di lokasi kebakaran hari ini.
Selain itu, beliau berkata pada permulaan operasi, pihaknya mengalami kesukaran untuk sampai ke lokasi kebakaran dan terpaksa menggunakan jengkaut bagi membuat laluan.
Meskipun berhadapan dengan cabaran tersebut, beliau berkata ia bukanlah halangan buat pasukan wira merah itu untuk menjalankan tugas dengan penuh dedikasi bagi mengawal dan memadamkan kebakaran di kawasan berkenaan, terutamanya kerana kejadian ini berlaku dalam bulan Ramadan.
"Cuma, pada lewat malam, kami terpaksa menangguhkan operasi kerana agak berbahaya dan bimbang sekiranya berlaku insiden yang tidak diingini," kata Mohd Razam sambil memaklumkan pasukan bomba mula menjalankan operasi setiap hari bermula pukul 8 pagi hingga 9 malam.
Menurutnya lebih 70 anggota dan pegawai daripada 10 balai bomba dan penyelamat terlibat dalam operasi hari ke-11 ini, di mana 91.9 hektar daripada 130 hektar kawasan ladang yang terbakar sudah berjaya dipadamkan.
Mohd Razam berkata JBPM turut menggunakan sebuah helikopter untuk melakukan kaedah 'water bombing' selain melakukan pemadaman secara terus, sekatan kemerebakan api serta membanjirkan kawasan kebakaran dalam operasi berkenaan.
"Bomba juga menggunakan dron bagi memantau situasi kebakaran dan kami menjangkakan operasi pemadaman dapat diselesaikan dalam minggu ini," katanya sambil berterima kasih kepada semua pihak serta agensi yang turut terlibat dalam operasi ini.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng, Zahidah Ali bersama pegawainya Mohd Hilmi Jamaludin adalah antara yang terawal tiba di lokasi kebakaran berkenaan pada 22 Feb lepas dan bertanggungjawab untuk membuat akses laluan masuk bagi memudahkan operasi pemadaman.
Zahidah berkata pengalamannya yang melebihi 30 tahun dalam pasukan bomba amat membantunya untuk membuat laluan masuk ke lokasi kebakaran itu selain menyusun gerak kerja agar operasi berjalan dengan teratur dan berkesan.
Mengulas lanjut, beliau berkata cuaca panas dan keadaan yang berasap, ditambah pula dengan anggota yang berpuasa, tidak mematahkan semangat mereka untuk menjalankan operasi tersebut.
"Ini sudah menjadi tuntutan tugas kami dan akan dijalankan sebaik mungkin agar kebakaran segera dipadamkan dan tidak memberi kesan kepada orang awam... malah ini adalah hari ketiga bagi kami berbuka puasa di lokasi kebakaran," katanya.
Bacaan indeks pencemaran udara (IPU) di kawasan Balok Baru, yang terjejas akibat kebakaran ladang kelapa itu, masih merekodkan kategori tidak sihat dengan bacaan 193 setakat 6 petang tadi.
-- BERNAMA
