PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang meneliti 73 kesalahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) bagi tujuan semakan semula, kata menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata langkah itu selaras dengan keputusan Jemaah Menteri yang mengarahkan KDN melakukan semakan terhadap akta berkenaan baru-baru ini.

"Kita sekarang sedang meneliti 73 kesalahan itu dan apakah sejumlah kesalahan yang akan kita cadangkan (untuk) boleh diikat jamin dengan memulangkan kuasa itu kepada mahkamah.

"Ini satu anjakan yang penting buat kita dan beberapa pemegang taruh lain," katanya ketika berucap pada majlis iftar bersama pengamal media di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.

Beliau berkata pihaknya turut komited mengkaji semula Seksyen 30 SOSMA yang mendapat perhatian dalam pelbagai sesi libat urus oleh KDN.

"Seksyen 30 SOSMA mengatakan selama kamu itu ditahan melepasi 28 hari, dituduh ke mahkamah dan dibicara di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

"Sehingga proses itu selesai, seorang yang ditahan itu tetap berada dalam penjara. Ini juga seksyen yang melalui libat urus kita dan menunjukkan banyak pandangan yang mengatakan ada kewajaran (semakan)," katanya.

Saifuddin Nasution berkata Kerajaan Perpaduan komited melakukan transformasi terhadap akta berkenaan serta melindungi hak asasi setiap individu.

Sebelum ini, beliau berkata penambahbaikan terhadap SOSMA adalah bagi mengimbangi keperluan keselamatan negara dengan hak asasi individu selain memastikan ia berkesan dalam menangani aktiviti jenayah serius, kompleks dan berstruktur yang mengancam keselamatan negara dan ketenteraman awam.

SOSMA merupakan akta baharu yang digubal pada 2012 menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA).

-- BERNAMA