Ringkasan AI
- Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mewartakan Perintah Larangan terhadap enam tajuk penerbitan yang mungkin memudaratkan kemoralan.
- Enam tajuk penerbitan tersebut termasuk 'A Million Kisses In Your Lifetime' oleh Monica Murphy dan 'What If It's Us' oleh Becky Albertalli dan Adam Silvera.
- Individu yang melanggar Perintah Larangan ini boleh disabitkan, dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.
KDN dalam kenyataan hari ini memaklumkan enam tajuk penerbitan itu iaitu 'A Million Kisses' In Your Lifetime' oleh Monica Murphy, 'Lose You To Find Me" (Erik J. Brown), 'Punai' (Asyraf Bakti), 'Scattered Showers' (Rainbow Rowell), 'When Everything Feels Like The Movie' (Raziel Reid) dan 'What If It's Us' (Becky Albertalli dan Adam Silverra).
"Perintah Larangan di bawah Akta 301 ini adalah berasaskan konsep kawalan dan pencegahan sebelum suatu ancaman atau kemudaratan itu berlaku. Pada masa sama, masyarakat turut mendapat pendedahan dan kesedaran mengenai hasil-hasil penerbitan yang tidak diingini dan tidak sesuai untuk bacaan umum.
"Tindakan Perintah Larangan bagi kesemua hasil penerbitan yang berkenaan adalah selaras dengan peruntukan di bawah subseksyen 7(1) Akta 301, yang menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan enam hasil penerbitan tersebut yang mungkin memudaratkan kemoralan adalah dilarang secara mutlak di Malaysia," menurut kenyataan itu.
KDN dalam kenyataan sama mengingatkan bahawa berdasarkan peruntukan di bawah subseksyen 8(2) Akta 301, individu yang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar atau ada dalam milikannya bagi apa-apa jua maksud seperti itu apa-apa hasil penerbitan larangan melakukan suatu kesalahan.
Berdasarkan peruntukan berkenaan juga, individu terbabit boleh disabitkan, dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya, menurut kenyataan itu.
"Kerajaan ingin menyatakan komitmen yang berterusan dalam melaksanakan tindakan kawal selia dan penguatkuasaan terhadap mesin cetak dan hasil penerbitan khususnya bagi mencegah penyebaran elemen, fahaman mahupun gerakan yang bercanggah dengan sosiobudaya tempatan selaras dengan peruntukan perundangan yang berkuat kuasa demi keharmonian dan kesejahteraan bersama.
"Maklumat lanjut berkaitan hasil penerbitan yang telah dikenakan tindakan Perintah Larangan di bawah Akta 301 boleh dirujuk pada laman sesawang https://epq.kdn.gov.my/e-pq/index.php?mod=public atau Perundangan Persekutuan https://lom.agc.gov.my/index.php?language=BM," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA