Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, kejadian berlaku sekitar pukul 6.55 pagi ketika wanita berusia 34 tahun itu menghantar anak keduanya ke sebuah pusat asuhan.
“Ketika keluar sebentar dari kenderaan jenis Toyota Vios untuk menghantar anak keduanya, dia meninggalkan anak sulungnya yang sedang tidur di dalam kereta dengan enjin masih hidup dan pintu tidak berkunci.
“Bagaimanapun, sebaik kembali, dia mendapati keretanya hilang dipercayai dicuri bersama anak sulungnya yang masih di dalamnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.
Sementara itu, Mohd Iqbal memberitahu, pihaknya menerima laporan daripada orang awam berhubung kejadian kira-kira pukul 7.06 pagi
“Susulan itu polis melancarkan gerakan mencari mangsa dengan bantuan orang awam.
“Kanak-kanak itu akhirnya ditemui selamat kira-kira 50 minit kemudian bersama kenderaan yang dicuri di kawasan perumahan berhampiran sebuah pangsapuri, kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.
“Hasil siasatan mendapati suspek dipercayai hanya berniat mencuri kenderaan tersebut tanpa menyedari ada kanak-kanak di dalamnya.
“Namun, apabila mendengar tangisan kanak-kanak itu, suspek panik lalu memberhentikan kenderaan sebelum melarikan diri,” jelasnya.
Sebelum melarikan diri, kata beliau, suspek sempat mengambil beg tangan milik guru tadika itu yang mengandungi kad bank, dokumen pengenalan diri serta dua telefon bimbit yang dianggarkan bernilai RM2,000.
Menurut Mohd Iqbal, pemeriksaan ke atas kanak-kanak itu mendapati dia tidak mengalami sebarang kecederaan dan tidak dicederakan suspek.
Beliau memberitahu, polis masih memburu suspek.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara antara satu hingga tujuh tahun serta denda,” katanya.
Beliau turut meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung kejadian supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Khamsia Hung Mei Shuang di talian 016-8119560 atau mana-mana balai polis berhampiran.
