MELAKA: Seorang peniaga kuih churros nyaris disambar api apabila kuali memasak terbakar dalam kejadian di Bazar Ramadan Semabok Perdana, di sini, pada petang semalam.

Insiden yang menimpa peniaga dikenali sebagai Alif itu tular di aplikasi TikTok memaparkan khemah jualannya musnah dalam kebakaran yang berlaku lebih kurang jam 5 petang meskipun cuaca ketika itu hujan.

Menerusi video berdurasi 31 saat, memaparkan individu tersebut sedang merakam video di gerai jualan itu namun, secara tiba-tiba berlaku percikan api dari kuali memasak menyebabkan dia terkejut.

Biarpun dalam keadaan panik memandangkan getah saluran masih bersambung dengan tong gas namun dia sempat menyelamat diri sebelum menunjukkan khemah jualannya musnah dalam kejadian berkenaan.

Tangkap layar video memaparkan keadaan gerai jualan individu itu selepas insiden kebakaran tersebut di Bazar Ramadan Semabok Perdana, Melaka, petang semalam. - Foto Sinar Harian

Peniaga itu yang memuat naik video berkenaan di TikTok menerusi nama Adicto Churros Melaka, reda dengan ujian yang menimpanya ketika mencari rezeki pada bulan Ramadan.

"Alhamdulillah tiada kemalangan jiwa berlaku dan mungkin bukan rezeki kami hari ini (Rabu).

"Mungkin ini adalah qada dan qadar ALLAH, kami terima dengan reda," tulisnya. - Sinar Harian