BARCELONA: Kumpulan EDOTCO terus memperkukuh komitmennya terhadap transformasi digital Malaysia dengan mempercepatkan pelaksanaan rangkaian 5G, menghubungkan komuniti luar bandar, serta memacu penyelesaian infrastruktur lestari selaras dengan aspirasi negara untuk mencapai pelepasan sifar bersih.


Ringkasan AI
  • EDOTCO mempercepatkan pelaksanaan 5G bagi memperluaskan ketersambungan digital di Malaysia.
  • EDOTCO merapatkan jurang digital luar bandar dengan teknologi satelit dan tenaga boleh diperbaharui.
  • EDOTCO komited mencapai karbon neutral menjelang 2030 selaras aspirasi sifar bersih negara.


Bercakap di Mobile World Congress (MWC) 2025 di Barcelona, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EDOTCO, Adlan Tajudin menekankan kepentingan perkongsian infrastruktur dalam memastikan pelaksanaan perkhidmatan 5G yang lebih cekap di seluruh Malaysia.

“Kami percaya bahawa mempercepatkan pelaksanaan 5G melalui perkongsian infrastruktur bukan sahaja dapat mengurangkan kos dan meminimumkan pertindihan, malah memastikan semua rakyat Malaysia, tanpa mengira lokasi, memperoleh akses kepada ketersambungan yang boleh dipercayai dan berkelajuan tinggi,” kata Adlan dalam program Niaga AWANI pada Selasa.

Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia berada pada kedudukan yang strategik sebagai hab ketersambungan serantau hasil daripada dasar progresif dan pembangunan 5G yang pesat, sekali gus menjadikannya peneraju dalam revolusi digital di Asia Tenggara.

Di luar bandar pula, EDOTCO katanya komited membantu pihak kerajaan dalam usaha merapatkan jurang digital dengan menerapkan penyelesaian inovatif bagi menghubungkan sejuta rakyat Malaysia yang masih belum mendapat akses di kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Di kawasan luar bandar, pembinaan infrastruktur tradisional sering menghadapi cabaran. Oleh itu, kami menggunakan teknologi baharu seperti ketersambungan satelit, akses tanpa wayar tetap (FWA) dan menara yang dikuasakan oleh tenaga boleh diperbaharui.

“Penyelesaian ini akan menyediakan akses internet yang boleh dipercayai kepada komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan,” jelasnya.

Adlan turut menekankan bahawa penggunaan teknologi cekap tenaga akan memainkan peranan penting dalam memastikan ketersambungan yang mampan sejajar dengan matlamat kelestarian.

Ketika Malaysia terus memperkukuh infrastruktur digitalnya, Adlan berkata kelestarian kekal sebagai keutamaan bagi EDOTCO yang komited untuk mencapai karbon neutral menjelang 2030, selari dengan sasaran negara untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.

“Strategi kelestarian EDOTCO diterapkan dalam setiap aspek operasi kami. Kami sentiasa menambah baik reka bentuk menara supaya lebih ringan, tahan lama dan kurang pelepasan karbon.

“Selain itu, kami beralih kepada sumber tenaga boleh diperbaharui seperti solar dan angin untuk menjana tenaga bagi infrastruktur kami dan mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil,” kata Adlan.

Beliau menambah bahawa dengan mengintegrasikan reka bentuk modular dan cekap tenaga, EDOTCO berhasrat menetapkan penanda aras bagi infrastruktur telekomunikasi lestari di Malaysia dan di peringkat serantau.