Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin, 75, yang berkhidmat sebagai Pengerusi 1MDB daripada 2009 hingga 2016, turut menafikan dakwaan pihak pendakwaan bahawa beliau merupakan proksi kepada Najib dalam syarikat itu.
Saksi pembelaan yang ke-12 itu menjawab soalan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar dalam perbicaraan Najib kerana didakwa menyeleweng dana RM2.3 bilion milik 1MDB.
Kamal Baharin: Saya kemukakan kepada anda bahawa anda sebenarnya adalah proksi Najib dalam 1MDB untuk memastikan semua tindakan yang mencurigakan dapat dilakukan. Adakah anda bersetuju dengan saya?
Che Lodin: Saya tidak setuju.
Sebelum ini, Che Lodin memberi keterangan bahawa beliau mempunyai hubungan profesional dengan Najib dan walaupun mengenali antara satu sama lain hampir 50 tahun, hubungan mereka tetap formal memandangkan Najib menjadi Menteri Pertahanan ketika Che Lodin bersama Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
Sementara itu, perbicaraan dipendekkan hari ini selepas peguam bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini hakim Mahkamah Rayuan) bahawa dua pegawai kerajaan yang merupakan saksi berpotensi masih belum mendapat lampu hijau daripada kerajaan untuk memberi keterangan.
Muhammad Shafee berkata kedua-dua pegawai itu belum menerima pengecualian hak keistimewaan peguam-klien yang dimiliki 1MDB dan kini dipegang oleh Pengerusi 1MDB semasa, Datuk Johan Mahmood Merican.
Sebagai maklum balas, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berkata pihak pendakwaan dimaklumkan sebelum ini bahawa 1MDB akan mengadakan mesyuarat Lembaga Pengarah hari ini untuk memberikan 'lampu hijau'.
Hakim Sequerah kemudian mengarahkan semua pihak untuk mengemas kini mahkamah mengenai pengecualian tersebut.
"Sekiranya ia tidak diselesaikan hari ini (penandatanganan pengecualian), maklumkan kepada saya esok supaya saya boleh mengeluarkan apa-apa perintah yang perlu bagi mempercepatkan perbicaraan ini.
"Saya rasa saya tidak begitu berminat untuk menunggu sesiapa di luar sana untuk menandatangani, yang akan melambatkan perbicaraan yang berkepentingan awam ini," kata hakim tersebut.
Pada 30 Okt tahun lalu, Hakim Sequerah memerintahkan Najib untuk membela diri selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadapnya.
Najib, 71, berdepan 25 pertuduhan termasuk empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan RM2.3 bilion dana 1MDB sebagai rasuah dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Perbicaraan bersambung esok.
-- BERNAMA
