Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata ketika ini, pegawai terbabit telah diarahkan berpindah sementara ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras (Bilik Gerakan), manakala anggota itu berkemungkinan ditempatkan ke IPD Dang Wangi, sementara menunggu keputusan siasatan.
"Buat masa ini mereka tidak dicadang untuk digantung tugas cuma ditempatkan sementara di IPD lain. Kes itu telah selesai, siasatan sudah lengkap dan menunggu arahan Bukit Aman kerana melibatkan penjawat awam," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan dua polis berpangkat inspektor dan koperal masing-masing berusia 44 serta 34 tahun ditahan pada 23 Feb, bagi membantu siasatan dakwaan mencuri mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Pada perkembangan berasingan, Rusdi berkata kertas siasatan berhubung dakwaan seorang wanita menjadi mangsa gangguan seksual oleh anggota polis akan diserah kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
"Kita tidak berkompromi dan menjalankan siasatan secara telus," katanya.
Pada 11 Feb, media melaporkan polis telah merakam keterangan lima individu bagi membantu siasatan berhubung kes melibatkan wanita itu ketika memberi keterangan di sebuah IPD berkaitan satu perhimpunan di ibu kota pada 19 Dis.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju ACP Mohamad Lazim Ismail dilaporkan berkata pihaknya juga telah merakam percakapan peguam mangsa.
-- BERNAMA
