Selain dapat berkongsi pengalaman, Nurul Izzah Izzati berkata kemunculan pelumba muda berpotensi tinggi itu juga memberikan motivasi kepada beliau untuk meningkatkan prestasi selain pengingat untuk tidak berada dalam zon selesa.
Pada masa sama, Nurul Izzah Izzati berkata persaingan antara pelumba senior dan muda itu membuktikan perkembangan positif sukan berbasikal negara.
"Kalau bercakap mengenai prestasi Nur Alyssa, saya memang harap lebih ramai mampu memberi saingan kepada saya supaya tidak lagi berada dalam zon selesa.
"Saya sedia bantu, bagi motivasi dan sokong Nur Alyssa. Dalam pertandingan kita dapat bersaing bersama-sama," katanya kepada pemberita baru-baru ini.
Nur Alyssa semakin mencuri perhatian sebagai bintang baharu sukan berbasikal trek apabila meraih pingat perak acara pecut, serta dua gangsa dalam keirin dan pecut individu dalam Siri Trek ASEAN (Piala Presiden) baru-baru ini.
Pelumba kelahiran Muar, Johor itu mencatatkan masa 10.953 saat (s) yang merupakan rekod peribadi terbaik beliau untuk mengungguli pusingan kelayakan acara pecut wanita di Velodrom Nasional, di sini, mengatasi Nurul Izzah yang mencatatkan 11.000s.
-- BERNAMA