PETALING JAYA: "Lepas jumpa jasad Zayn Rayyan, bapa budak itu cakap ‘celaka, siapa yang bunuh anak aku’.

Demikian kata penduduk pertama yang menemui jasad kanak-kanak autistik terbabit di aliran sungai, ketika perbicaraan kes pengabaian membabitkan Zaim Ikhwan Zahari dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis.

Menceritakan semula kejadian berkenaan, saksi pendakwaan keenam, Faizul Najib Abd Munaim, 47, berkata, dia mula mencari Zayn Rayyan Abdul Matin, 6, selepas solat hajat di surau Al-hidayah berdekatan lokasi kejadian, pada 6 Disember 2023.

Selesai solat hajat, saksi yang bekerja sebagai eksekutif jualan syarikat swasta ini berkata, dia mengikuti operasi mencari di aliran sungai bersama dua lagi penduduk yang tidak dikenali dan diikuti empat kanak-kanak lain.

Ketika itu, dia berkata, waktu menunjukkan jam 9.40 malam, jadi dia menggunakan lampu suluh untuk melihat kawasan sekitar, memandangkan ia dipenuhi semak-samun.

“Kemudian, saya nampak ada badan kanak-kanak itu, saya terus menjerit, ‘dah jumpa, panggil ambulans! kemudian saya terus terjun ke sungai dengan kedalaman lebih satu meter.

“Saya nampak badan arwah berada di beting pasir dalam keadaan bersih, seolah-olah dia tengah tidur.

“Ketika saya menjerit dia tidak memberi respons, saya sangka paling tak kelipkan mata, malangnya tiada tindak balas.

“Saya tengok bajunya terselak, nampak urat dah timbul,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Iman Ahmad Sapian.

Ketika itu Kamarul Iman turut meminta saksi ini yang juga Timbalan Pengerusi Surau Al-hidayah Pangsapuri Saujana melakonkan semula peristiwa penemuan kanak-kanak terbabit.

Dia juga gagal mengawal emosi dan menangis ketika menunjukkan Zayn Rayyan ditemui dalam keadaan mengiring ke kiri badan, dengan kedua-dua tangannya di telinga.

Selepas kejadian berkenaan, saksi yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak berkata, bagi menutup aib, seorang anggota polis menutup jasad arwah dengan menggunakan baju kot berwarna hitam.

Selepas itu katanya, seorang lelaki mengaku sebagai datuk Zayn Rayyan, mahu melihat cucunya diikuti bapa kanak-kanak terbabit.

Bagaimanapun, dia berkata, terdapat beberapa perkataan yang kurang enak didengar, telah diucapkan oleh Zaim Ikhwan.

Pendakwaan: Apa yang kami dengar?

Faizul Najib: Dia kata, “celaka, siapa yang bunuh anak aku ini?”

Pendakwaan: Apa perasaan kamu masa mendengar perkara itu?

Faizul Najib: Saya tersentap, sebab difahamkan ini merupakan kes budak hilang tapi saya faham, dia terbawa-bawa dengan emosi, jadi saya tak ambil kisah sangat, mungkin dia beremosi ketika lihat keadaan anak.

Pendakwaan: Bagaimana pula ketika di pondok laluan masuk ke Apartmen Idaman, Damansara Damai?

Faizul Najib: Bapa Zayn Rayyan ada beritahu ketika saya jumpa kanak-kanak itu, arwah masih hidup, namun saya nafikan perkara terbabit. Isterinya kemudian mencelah, supaya Zaim Ikhwan bersabar dan bertenang.

Pada 13 Jun tahun lalu, pasangan suami isteri itu, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan, bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka, Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini pada jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 hingga keesokannya, jam 9.55 malam.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang, sebelum ditemui terbaring, dengan jarak kira-kira 200meter dari blok kediamannya.

Perbicaraan di hadapan Hakim, Dr Syahliza Warnoh bersambung jam 2 petang. - Sinar Harian