KUALA LUMPUR: Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN menyasarkan untuk memuktamadkan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA) tahun ini untuk mempersiapkan rantau Asia Tenggara untuk pendigitalan.

Pengarah Kanan Bahagian Integrasi Ekonomi ASEAN Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Sugumari S Shanmugam berkata beberapa isu perlu dilihat segera seperti jurang pembangunan antara negara anggota ASEAN sebelum DEFA dimuktamadkan.

"Merundingkan DEFA adalah cabaran yang serius kerana tahap pembangunan, pemahaman, pengetahuan teknikal dan pembinaan kapasiti berbeza perlu dilakukan.

"Kami juga yakin bahawa boleh menggerakkan perkara ini dengan bantuan pakar. Beberapa bengkel telah dijalankan untuk membantu negara anggota ASEAN memahami perkara diperlukan berkaitan DEFA dan bagaimana kita boleh bergerak ke hadapan ke arah ini," katanya.

Sugumari berkata demikian semasa sesi panel bertajuk "ASEAN sebagai Masyarakat Kelas Pertengahan: Membina ASEAN yang Mampan" pada Persidangan Pemimpin Pemikir Ekonomi ASEAN: Tinjauan untuk 2025 di sini pada Rabu.

DEFA disifatkan sebagai perjanjian ekonomi digital serantau pertama di dunia, menyasarkan untuk mempercepatkan transformasi ASEAN menjadi ekonomi digital terkemuka, memupuk kerjasama digital yang lebih besar dan membuka jalan bagi integrasi digital serantau serta pertumbuhan dan pembangunan inklusif.

-- BERNAMA