KUALA LUMPUR: Sidang kemuncak bersama Amerika Syarikat (AS) yang dirancang ASEAN kini sedang dalam peringkat perancangan, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Ini, katanya, sejajar dengan perkembangan terkini yang melibatkan perdagangan dan tarif antara AS dan negara lain serta bagaimana peralihan itu akan memberi impak kepada rantau ini.

Sebelum ini dilaporkan, dalam usaha untuk melindungi pengeluar logam AS, Presiden Donald Trump pada Isnin telah mengenakan tarif 25 peratus ke atas semua import keluli dan aluminium dan menghapuskan semua pengecualian sebelum ini.

Keputusan itu, yang dilihat sebagai satu langkah ke arah kepada perang perdagangan besar-besaran bertujuan untuk menutup kelemahan yang membenarkan pemintasan tarif melalui negara seperti Kanada, Brazil, Mexico, Korea Selatan dan Vietnam.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata satu sidang kemuncak ASEAN dengan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China dijangka berlangsung pada Mei depan, dengan objektif untuk memulakan perbincangan antara ASEAN dan GCC bagi perjanjian perdagangan bebas (FTA).

"Kita mahu meningkat dan menambah baik hubungan perdagangan antara GCC dan ASEAN, dan kita juga mahu melihat pelaburan rentas sempadan.

"Pada masa yang sama, kita mahu melihat bagaimana kita boleh menjadi jambatan antara ASEAN dan pasaran dan memastikan aliran perdagangan dan rantaian bekalan yang lebih baik dengan ketiga-tiga blok itu," katanya menerusi satu temu bual bersama CNBC.

Sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Tengku Zafrul berkata Malaysia akan terus memastikan perkumpulan itu terus menjadi perikatan yang stabil dan aman selain bekerjasama untuk menaik taraf FTA.

Sebagai sebuah blok, beliau berkata ASEAN juga akan meneruskan prinsip kepusatan ASEAN, meskipun terdapat perbezaan pandangan mengenai perkara tertentu.

"Malahan ia lebih penting berbanding sebelum ini, dari segi keupayaan ASEAN untuk bersatu hati dalam isu-isu yang akan memberi kesan kepada kita semua," katanya.

-- BERNAMA