ATIGA, yang ditandatangani pada Februari 2009 dan dikuatkuasakan pada Mei 2010, merupakan perjanjian untuk mengurangkan halangan perdagangan, termasuk mengurangkan tarif dan memudahkan prosedur kelulusan kastam.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, ia merupakan sebahagian daripada inisiatif memperkukuhkan integrasi ekonomi serantau, yang menjadi fokus Pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) tahun ini.
“Kami amat optimis untuk muktamadkan ATIGA kerana ia sudah dibincangkan di peringkat pegawai kanan.
“Esok (Jumaat) apabila ia dibincangkan di peringkat menteri, nampaknya tidak ada isu. Malah ada beberapa negara yang sudah bersetuju untuk menandatangani perjanjian ini,” katanya.
Beliau bagaimanapun berkata, Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA) masih dalam peringkat perbincangan.
Dilancarkan pada September 2023, DEFA bertujuan memacu pertumbuhan ekonomi digital ASEAN, yang melibatkan penyelarasan peraturan dan piawaian digital setiap negara anggota.
Tengku Zafrul berkata, DEFA dijangka berdepan lebih banyak cabaran kerana ia memberi kesan kepada beberapa industri sensitif yang masih dilindungi oleh negara-negara anggota, khususnya perkhidmatan.
“DEFA masih lagi ada perbincangan yang perlu diperhalusi, kerana setiap negara mempunyai isu-isu yang perlu diperhalusi.
“Negara-negara ASEAN masih berada di peringkat berbeza dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita dan dari segi industri masing-masing, terutamanya dalam ekonomi digital, yang masih memerlukan perbincangan yang adil untuk semua,” katanya.
AEM 2025 mengumpulkan Menteri, Timbalan Menteri atau Ketua Pengarah Perdagangan 10 negara anggota ASEAN dan satu negara pemerhati di bawah kepengerusian Malaysia.
Ia dimulakan dengan Mesyuarat Persediaan Pegawai-Pegawai Ekonomi Kanan (SEOM) selama dua hari pada 26 dan 27 Februari 2025, dan diakhiri dengan pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN pada 28 Februari ini.
