KUALA LUMPUR: Sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia boleh mencadangkan satu perbincangan meja bulat antara Asia Tenggara dengan negara BRICS untuk meneroka koridor perdagangan baharu.

Pandangan mengenai langkah mempelbagaikan perdagangan serantau serta mengurangkan pergantungan kepada rakan dagang tradisional juga boleh disuarakan dalam sesi meja bulat itu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Emir Research Datuk Rais Hussin berkata langkah itu akan memperkukuh kerjasama kalangan pasaran yang sedang pesat membangun di samping memajukan penyepaduan ekonomi ASEAN, terutama ketika ketidakpastian dalam arena global semasa.

"Meneroka laluan perdagangan baharu seharusnya tidak terhad kepada BRICS sahaja, malah juga boleh merangkumi kumpulan lain seperti Kawasan Perdagangan Bebas Benua Afrika (AfCFTA)," kata peneraju badan pemikir bebas itu kepada Bernama.

Beliau berkata demikian selepas program terbitan Bernama TV, "Bernama World" yang dihoskan Pasha Rahim baru-baru ini, dengan menumpukan kepada Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 bagi membawa rantau ini menuju kejayaan bersama.

Malaysia dan Thailand telah diterima sebagai negara rakan BRICS berkuat kuasa 1 Jan, 2025 manakala Indonesia menjadi ahli penuh pada 6 Januari.

Susulan penyertaan tiga negara ASEAN dan anggota baharu meliputi Mesir, Ethiopia, Iran dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), BRICS kini mewakili kira-kira separuh daripada populasi dunia dan lebih 41 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global, sekali gus menawarkan peluang pasaran yang amat besar kepada ASEAN.

Atas faktor itulah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim secara konsisten menggesa ASEAN dan Malaysia, khususnya, untuk memperoleh manfaat daripada langkah meningkatkan perdagangan dan eksport dengan BRICS, yang meliputi anggota asalnya iaitu Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan.

Rais yang juga pakar dasar serantau berkata selain berkaitan BRICS, Malaysia juga perlu memimpin ASEAN dalam memperluas Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan kumpulan lain.

Contohnya, Kuala Lumpur boleh membantu Asia Tenggara memanfaatkan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang melibatkan 15 negara dengan merundingkan perjanjian yang lebih inklusif dan bertumpu sektor khusus yang membuka pasaran kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) rantau ini.

Negara anggota daripada BRICS dan RCEP, beberapa daripadanya sangat maju seperti China, Jepun, Korea Selatan, Australia, dan New Zealand, boleh meneroka pelaburan infrastruktur bersama, terutama dalam tenaga bukan boleh baharu dan tenaga boleh baharu.

Ketika menjawab soalan Pasha, Rais berkata Malaysia juga boleh memimpin dalam usaha meningkatkan daya tahan ekonomi, jaminan makanan dan transformasi digital sejajar dengan matlamat ASEAN 2040 untuk memastikan kedudukannya di rantau ini dan global.

Usaha ASEAN untuk mempelbagaikan hubungan perdagangan yang baik dengan rangkaian BRICS-Plus atau BRICS+, dengan organisasi antara kerajaan itu sendiri memperluas kemungkinan untuk membentuk pakatan dalam dan merentas benua kalangan ekonomi yang sedang membangun.

Ini boleh dilaksanakan sama ada melalui pakatan dua hala antara negara atau berasaskan perjanjian perdagangan atau pelaburan antara blok serantau.

Beliau berkata ekoran wujudnya cabaran sepanjang beberapa tahun lepas seperti pandemik COVID-19 dan penutupan serantau, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN juga boleh mengorak laluan dalam memperkukuh rantaian bekalan dengan mempelopori inisiatif untuk menambah baik sistem rantaian bekalan digital dan infrastruktur rentas sempadan.

"Pengukuhan rantaian bekalan itu turut meliputi jaminan makanan dan tenaga, yang memerlukan penubuhan Perikatan Rizab Makanan Strategik ASEAN," katanya.

Perikatan itu akan memanfaatkan analisis data masa sebenar untuk menguruskan stok di samping penyumberan dan logistik komoditi asas, sekali gus mengukuhkan daya tahan negara daripada kejutan bekalan global.

Rais berkata rangka kerja yang serupa boleh diperluaskan kepada input industri lain yang digunakan secara meluas untuk mengukuhkan keselamatan ekonomi keseluruhan, yang pastinya Malaysia boleh melaksanakan peranan penting sebagai Pengerusi ASEAN.

-- BERNAMA