Ringkasan AI
- Kemakmuran Ekonomi ASEAN: Lantikan Thaksin bertujuan untuk membawa kemakmuran ekonomi ke seluruh negara anggota ASEAN melalui pengalaman dan kejayaan dasar ekonomi beliau.
- Kerjasama Ekonomi dan Sosial: Penekanan perlu diberikan kepada kerjasama dalam bidang ekonomi dan sosial, bukan hanya dari perspektif politik.
- ASEAN sebagai Kuasa Penengah: ASEAN perlu dilihat sebagai kuasa penengah yang mampu mendamaikan politik dunia dan mengurangkan ketegangan antarabangsa.
Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pengajian Pembangunan Universiti Malaya (UM), Mohammad Tawfik Yaakub berkata Thaksin mempunyai rekod pelaksanaan dasar menaiktaraf kehidupan rakyat yang memberangsangkan dan boleh dipelajari untuk kepentingan bersama.
“Apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan nama bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra sebagai penasihat kepada Pengerusi ASEAN, sesetengah pihak melihat satu aspek daripada keperibadian Thaksin.
“Tetapi bagi mereka yang menelaah dan meneliti pengalaman Thaksin menjadi Perdana Menteri Thailand yang terkenal dengan model Thaksinomik muncul daripada hasil tangan beliau.
“Ia berjaya mengangkat ekonomi orang miskin dan membantu golongan pesara di Thailand. Inilah yang saya lihat yang mahu diangkat oleh Anwar dalam konteks kepengerusian ASEAN iaitu kejayaan Thaksinomik membantu negara-negara ASEAN lain,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.
PM cuba bawa kejayaan Thaksinomik ke seluruh ASEAN - Penganalisis
Tambah Mohammad Tawfik, kerjasama di peringkat ASEAN tidak wajar disempitkan dari perspektif politik semata-mata. Sebaliknya, kerjasama dalam bidang ekonomi dan sosial juga perlu diberi penekanan.
Bahkan, kedudukan ASEAN juga perlu dilihat dari sudut keupayaannya untuk menjadi kuasa penengah dalam mengemudi arus ketidaktentuan dan ketidakstabilan antarabangsa.
“Seterusnya, ASEAN menjadi pengantara yang mampu mendamaikan politik dunia ketika kita berada di ambang peperangan besar pada masa akan datang melihatkan blok Barat dan Timur. ASEAN perlu menjadi suara pendamai dan dihormati semua pihak untuk mengurangkan ketegangan politik di peringkat antarabangsa,” tambahnya.
Malaysia secara rasmi menjadi pengerusi ASEAN untuk tempoh setahun bermula 1 Januari 2025.
Dialog Tiga Penjuru: ASEAN25 | Titik penentu, masa untuk Malaysia beraksi