Ringkasan AI
- ZOPFAN telah menyumbang kepada peningkatan kegiatan ekonomi berasaskan rakyat di Malaysia dan negara-negara anggota ASEAN.
- ZOPFAN membolehkan interaksi yang lebih terbuka antara rakyat, membawa kepada limpahan ekonomi dan peluang perdagangan.
- Malaysia perlu mengutarakan cadangan tambahan semasa menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun 2025 untuk terus memanfaatkan ZOPFAN bagi kepentingan rakyat dan negara jiran.
Bekas Duta Besar Malaysia dan Profesor Adjung Universiti Malaya, Datuk Dr. Ilango Karuppannan berkata, beberapa cadangan langkah tambahan boleh diutarakan sepanjang Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun 2025 ini.
“Tanpa kita sedari, (ZOPFAN) ini telah menyumbang kepada kegiatan ekonomi rakyat kita. Saya tahu ramai rakyat Malaysia yang membeli barangan daripada Vietnam untuk dijual di sini.
“Ini adalah suatu perkara yang tidak boleh dibayangkan 20 tahun lalu. Ini adalah hasil daripada ZOPFAN. Malaysia perlu utarakan cadangan tambahan untuk bantu rakyat kita dan negara-negara jiran,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu.
Tambahnya, ZOPFAN merupakan buah fikir Malaysia yang telah membolehkan interaksi sesama rakyat yang lebih terbuka, seterusnya membawa limpahan ekonomi.
Oleh itu, Ilango mencadangkan agar lebih banyak usaha digerakkan untuk memahamkan masyarakat mengenai pelbagai dasar ASEAN yang memberi manfaat langsung kepada orang awam.
"Kalau rakyat tidak boleh merasakan kesan positif daripada dasar yang dirancang, sukar untuk dihargai oleh orang awam. Contohnya, Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN) yang mungkin kurang difahami oleh orang awam.
“Sedangkan jika kita teliti, ZOPFAN ini membolehkan ASEAN aman. Kita boleh berdialog, berinteraksi dan melawat negara-negara anggota ASEAN tanpa waswas,” jelasnya.