Kementerian Luar Negeri (KLN) menerusi kenyataan turut menasihatkan supaya semua perjalanan ke Sudan Selatan ditangguhkan.
"Memandangkan situasi di Sudan Selatan yang semakin meruncing dan sebagai langkah berjaga-jaga, KLN menasihatkan semua warganegara Malaysia supaya berwaspada serta memberikan keutamaan kepada keselamatan diri," katanya pada Khamis.
Menurut kementerian itu, pihaknya melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Nairobi, Kenya akan terus memantau rapat perkembangan di negara berkenaan.
"Semua warganegara Malaysia di Sudan Selatan dimohon untuk mendaftarkan keberadaan mereka dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Nairobi bagi memastikan mereka menerima maklumat terkini dan bantuan sewajarnya," ujar KLN.
Selain 55 rakyat Malaysia, terdapat 18 pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sedang berkhidmat dalam misi United Nations Police (UNPOL) di Sudan, dan kesemua mereka dilaporkan selamat.
"Kedutaan juga terus berkomunikasi dengan pihak UNPOL bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan pegawai PDRM yang sedang bertugas di negara tersebut," jelasnya.
Awal bulan ini, satu serangan ganas berlaku ke atas tentera kerajaan dan sebuah helikopter Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Daerah Nasir yang mengorbankan 27 orang.
Presiden Sudan Selatan, Salva Kiir, berkata mereka yang terkorban termasuk seorang jeneral tentera dan komander di Nasir.
Kejadian berlaku pada pagi Jumaat ketika misi PBB cuba membawa keluar askar Sudan Selatan yang terperangkap selepas pertempuran dengan White Army, sebuah militan tempatan yang berpihak kepada kumpulan pemberontak 'Sudan People's Liberation Movement/Army-in-Opposition' (SPLM/A-IO).
Selain konflik bersenjata, Sudan Selatan yang memperoleh kemerdekaan pada 2011 terus berdepan dengan ketidakstabilan politik. - Sinar Harian
