KUALA LUMPUR: Prof. Azmi Hassan berpandangan Malaysia perlu mengambil iktibar daripada episod penahanan bekas Presiden Filipina, Rodrigo Duterte oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Menurut Pakar Geostrategi itu, Manila terpaksa menahan Duterte kerana ICC telah menggunakan saluran Polis Antarabangsa (INTERPOL), selain dinamik politik tempatan yang membuatkan Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr 'memenuhi' permintaan pihak berkuasa itu.

"Malaysia seharusnya mengambil iktibar atas tragedi yang menimpa Duterte ini kerana kuasa luar boleh bertindak ke atas sesiapa jua rakyat Malaysia  yang melaksanakan apa-apa tindakan yang tidak disukai mereka atas alasan hak asasi manusia, jenayah perang dan sebagainya.

"Adalah menarik juga untuk melihat apa reaksi Amerika Syarikat (AS) dalam hal ini kerana umum mengetahui bahawa penahanan Duterte boleh mengubah dinamik kuasa antara Manila, Beijing dan Washington," katanya.

Dalam pada itu, Azmi berkata Malaysia seharusnya kekal untuk tidak meratifikasi Statut Rom demi mempertahankan Perlembagaan Persekutuan agar kedaulatan negara ini terpelihara dan tidak sewenang-wenangnya dipaksa untuk mengikut telunjuk kuasa luar yang mempunyai agenda tertentu.

Duterte tiba di Filipina pada jam 9.20 pagi waktu tempatan, 11 Mac lalu dengan menaiki penerbangan Cathay Pacific CX 907 dari Hong Kong.

Sebaik tiba, Pendakwa Raya menyerahkan pemberitahuan rasmi ICC yang mengesahkan waran tangkap terhadapnya.

Ia sekali gus menjadikan Duterte sebagai bekas ketua negara Asia pertama yang berdepan pertuduhan di ICC.

Bekas presiden berusia 79 tahun itu berdepan tuduhan jenayah terhadap kemanusiaan di ICC berhubung kempen perang dadah berdarah semasa pemerintahannya.

Sebelum ini, China memberi amaran kepada ICC supaya tidak mempolitikkan dan bertindak berat sebelah dalam kes Duterte, selain memberitahu mereka memantau perkembangan itu dengan teliti.