THE HAGUE: Bekas Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, telah "diculik" sebelum dibawa ke The Hague untuk menghadapi dakwaan pembunuhan dan terlalu uzur untuk memberi keterangan, kata peguamnya kepada hakim Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada penampilan awalnya pada Jumaat.

Duterte, yang tiba di Belanda dengan penerbangan dari Manila pada Rabu selepas ditangkap berdasarkan waran ICC atas tuduhan jenayah terhadap kemanusiaan, kedengaran lemah ketika bercakap melalui pautan video dari unit tahanan, hanya mengesahkan nama dan tarikh lahirnya untuk mahkamah.

Peguam pembelaan, Salvador Medialdea mendakwa, Duterte tidak mempunyai keupayaan untuk bercakap lebih lama serta menyifatkan penangkapannya sebagai "penculikan semata-mata."

Medialdea turut menyatakan, anak guamnya mengalami masalah kesihatan yang "melemahkan."

Anak perempuan Duterte, Sara Duterte yang juga Naib Presiden Filipina menghadiri prosiding itu dari galeri awam.

Duterte waras dan layak dibicara

Sementara itu, hakim yang mempengerusikan perbicaraan, Iulia Antoanella Motoc berkata, doktor mahkamah yang memeriksa Duterte selepas ketibaannya mendapati bekas Presiden Filipina itu "sepenuhnya waras secara mental dan layak" untuk meneruskan perbicaraan.

Beliau menambah, Duterte dan pasukan peguamnya boleh mengemukakan isu berkaitan pemindahannya ke mahkamah serta keadaan kesihatannya pada peringkat seterusnya dalam prosiding.

Pendakwa raya menuduh pemimpin berusia 79 tahun itu melaksanakan serangan sistematik terhadap penduduk awam semasa pemerintahannya, dengan ribuan individu yang didakwa sebagai pengedar dan penagih dadah terbunuh dalam operasi pembanterasan jenayah.

Skuad pembunuh yang didakwa ditubuhkan dan dipersenjatai oleh Duterte dipercayai telah melaksanakan pelbagai pembunuhan di luar proses undang-undang.

Langkah pertama ke arah keadilan

"Untuk kami, mangsa perang dadah, ini adalah langkah pertama ke arah mendapatkan keadilan," kata Gilbert Andres, peguam yang mewakili keluarga mangsa pembunuhan berkaitan dadah di Filipina, di luar mahkamah.

Duterte tiba di Lapangan Terbang Rotterdam dengan pesawat sewa khas pada Rabu dan segera dipindahkan ke unit tahanan di pantai Belanda, tidak jauh dari bangunan ICC.

Dalam mesej video di media sosial, beliau mengambil tanggungjawab atas tindakannya semasa pemerintahannya.

Perbicaraan sejarah untuk bekas pemimpin Asia

Dalam penampilan awal itu, hakim merumuskan dakwaan terhadap Duterte, namun beliau tidak diminta untuk mengaku bersalah atau tidak.

Duterte, yang mentadbir Filipina dari 2016 hingga 2022, bakal menjadi bekas ketua negara Asia pertama yang diadili di ICC - sebuah mahkamah yang ditubuhkan lebih dua dekad lalu untuk mendakwa individu atas jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan, pencerobohan dan genosid.

Duterte sebelum ini mengakui beliau menghidap pelbagai penyakit, termasuk gangguan neuromuskular kronik, masalah belakang, migrain dan keadaan yang boleh menyebabkan penyumbatan pada saluran darah.

Penyerahan Duterte kepada mahkamah menandakan kemenangan besar bagi Ketua Pendakwa Raya ICC, Karim Khan, yang berdepan sekatan AS atas waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Pada akhir sesi mahkamah, para hakim menetapkan 23 September sebagai tarikh pendengaran pengesahan pertuduhan, di mana pendakwa raya boleh mengemukakan sebahagian bukti mereka sebelum hakim memutuskan pertuduhan mana yang boleh dimasukkan dalam dakwaan.

Perbicaraan penuh dijangka tidak akan bermula sebelum awal tahun 2026. - Reuters