KUALA LUMPUR: ASEAN perlu mengekalkan prinsip berkecuali dan membiarkan proses undang-undang berjalan susulan penahanan bekas Presiden Filipina Rodrigo Duterte, kata seorang pakar.

Profesor Kajian ASEAN di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Phar Kim Beng berkata tindakan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) itu meletakkan ASEAN dalam kedudukan yang belum pernah berlaku sebelum ini, kerana tiada pemimpin Asia Tenggara yang pernah ditahan dan diekstradisi ke The Hague.

Namun begitu, beliau menegaskan ASEAN harus berpegang teguh kepada prinsip tidak campur tangan yang telah lama diamalkan.

"ASEAN beroperasi dalam rangka kerja perundangan antarabangsa. Ini adalah waran tangkap yang dikeluarkan oleh Interpol dan dilaksanakan mengikut prosedur yang betul.

"Sebagai sebuah blok serantau, ASEAN harus mengambil sikap berkecuali, memerhati, dan membiarkan proses undang-undang berjalan," katanya dalam program BERNAMA World bertajuk "Duterte's Arrest and Its Ripple Effects" yang disiarkan di Bernama TV pada Jumaat.

Filipina dijadual menjadi tuan rumah ASEAN tahun depan, dan Phar menegaskan kestabilan adalah elemen penting bagi negara itu untuk menggalas tanggungjawab berkenaan dengan berkesan.

Beliau memberi amaran bahawa sebarang ketidakstabilan politik di Manila boleh menjejaskan kredibiliti ASEAN serta keupayaannya untuk menghimpunkan pemimpin dunia.

"Filipina perlu berada dalam keadaan stabil sepenuhnya dan bersedia menerima semua tanggungjawab yang akan diserahkan oleh Malaysia. Jika Manila gagal menjamin keselamatan serta kelancaran logistik, ia akan menghadapi cabaran besar," katanya.

Dari sudut geopolitik yang lebih luas, Phar menjelaskan bahawa penahanan Duterte boleh mengubah dinamik kuasa antara Manila, Beijing dan Washington.

Beliau berkata China mempersoalkan tahap ketelusan ICC, terutamanya dalam menangani kes berkaitan Gaza, manakala pendirian Amerika Syarikat masih tidak menentu berikutan dasar luar negaranya yang sukar diramal.

"Kenyataan rasmi China ialah ICC perlu menilai dirinya secara objektif sebelum mengeluarkan sebarang waran tangkap. Ini kerana China merupakan antara pihak yang membawa kes Gaza ke peringkat antarabangsa dan tidak berpuas hati sepenuhnya dengan prestasi ICC sebagai penguat kuasa undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia.

"China mempunyai alasan untuk mengesyaki bahawa tindakan ini lebih bersifat politik, kerana Duterte sebelum ini dikenali sebagai pemimpin Filipina yang cenderung pro-China, berbeza dengan Presiden Bongbong Marcos (Ferdinand R. Marcos Jr.)," katanya.

-- BERNAMA