KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS menjelang pengumuman data Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Amerika Syarikat (AS) di tengah-tengah kebimbangan mengenai perang perdagangan, kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit susut kepada 4.4310/4375 berbanding dolar AS daripada 4.4260/4300 ketika ditutup Rabu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pelabur akan memantau dengan teliti pengumuman IHPR AS malam ini untuk melihat sama ada ia menunjukkan trend yang serupa dengan Indeks Harga Pengguna (IHP) bulan Februari.

"Peserta pasaran kekal berhati-hati mengenai perang perdagangan dan sama ada ia akan mengakibatkan kelembapan yang ketara pada ekonomi AS," katanya kepada Bernama hari ini.

Mohd Afzanizam berkata dolar AS-ringgit berlegar sekitar RM4.43 apabila Indeks Dolar AS (DXY) meningkat 0.11 peratus kepada 103.73 mata.

"(Data IHPR AS akan menentukan) sama ada Rizab Persekutuan AS (Fed) akan mengambil pendirian untuk cenderung menurunkan kadar faedah berikutan perang tarif pada minggu depan. Oleh itu, ringgit dijangka kekal lemah berbanding dolar AS dalam jangka pendek," katanya.

Sementara itu, Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata ringgit kekal stabil walaupun berlaku kemerosotan dalam pasaran ekuiti serantau yang disebabkan oleh kebimbangan mengenai tarif.

Beliau berkata mata wang tempatan menunjukkan daya tahan walaupun pasaran mata wang yang lebih luas mengambil pendirian defensif, dengan dolar AS mendapat permintaan secara menyeluruh.

"Daya tahan ini agak mengejutkan. Bagaimanapun, terdapat pergerakan besar semalam. Sehubungan itu, peniaga kekal dalam keadaan tunggu dan lihat, bersiap sedia menghadapi tarif timbal balik yang lebih keras sebelum mengambil sebarang tindakan berani," tambahnya.

Ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding euro kepada 4.8205/8276 daripada 4.8301/8345 ketika ditutup Rabu tetapi susut berbanding pound Britain kepada 5.7426/7510 daripada 5.7255/7306 semalam dan jatuh berbanding yen Jepun kepada 2.9909/9953 daripada 2.9775/9804 sebelum ini.

Unit tempatan juga diniagakan rendah berbanding mata wang di negara-negara ASEAN.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.3198/3250 daripada 3.3181/3213 ketika ditutup semalam dan jatuh berbanding baht Thailand kepada 13.1199/1443 daripada 13.0688/0868.

Ringgit juga lebih rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 269.7/270.2 daripada 269.0/269.3 semalam dan susut berbanding peso Filipina kepada 7.72/7.74 daripada 7.71/7.73.

-- BERNAMA