Justeru, beliau berkata kerajaan akan menyokong baki pekebun kecil kelapa sawit yang masih belum berbuat demikian untuk mematuhi peraturan tersebut sebelum tarikh akhir.
Di bawah cadangan Suruhanjaya Eropah, syarikat besar diberi masa sehingga 30 Dis 2025, untuk mematuhi tarikh akhir, manakala perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sehingga 30 Jun 2026, dengan sekurang-kurangnya 45 negara meminta penangguhan pelaksanaan EUDR.
"Bagi syarikat perladangan besar atau syarikat perladangan swasta, saya rasa agak mudah untuk mereka mematuhinya kerana pada masa ini mereka juga terus membekalkan produk ke negara-negara Eropah dan mereka mematuhi banyak pensijilan peringkat antarabangsa.
"Hanya 1.5 juta hektar yang diuruskan oleh pekebun kecil, kita akan lakukannya (memberi sokongan untuk memenuhi sasaran tarikh akhir EUDR)," katanya pada sidang media selepas Program Gema Ramadan oleh Padiberas Nasional Bhd (BERNAS), di sini, hari ini
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan mengenai kesediaan pekebun kelapa sawit Malaysia terhadap peraturan EUDR yang telah tertangguh selama setahun.
Sementara itu, Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa, menyantuni lebih 1,000 penghuni di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran Ampang, yang turut menerima barangan keperluan asas berbentuk beras dan gula serta bubur lambuk sempena program itu.
Turut hadir Pengerusi BERNAS Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BERNAS Zulkiflee Abdul Rahman.
-- BERNAMA
