KUALA LUMPUR: Sebanyak 52,225 permohonan rakyat Malaysia untuk melepaskan kewarganegaraan diluluskan dari 1 Januari 2020 hingga 15 Februari lalu, menjadikan purata sebanyak 842 rakyat Malaysia melepaskan taraf kewarganegaraan mereka setiap bulan.


Ringkasan AI
  • Sebanyak 52,225 permohonan rakyat Malaysia untuk melepaskan kewarganegaraan diluluskan dari 1 Januari 2020 hingga 15 Februari lalu, dengan purata 842 permohonan setiap bulan.
  • Permohonan pelepasan kewarganegaraan hanya dibenarkan bagi individu berusia 21 tahun ke atas dengan keupayaan mental yang sempurna, dan pemohon perlu membuktikan mereka telah atau akan memperoleh kewarganegaraan negara lain.
  • Dalam tempoh yang sama, Jabatan Pendaftaran Negara menerima 8,838 permohonan bagi taraf PR, dengan Indonesia, Thailand, dan India mencatatkan kadar permohonan tertinggi.


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata permohonan pelepasan kewarganegaraan hanya dibenarkan bagi individu berusia 21 tahun ke atas serta mempunyai keupayaan mental yang sempurna.

Katanya, bagi wanita yang telah berkahwin, faktor usia tidak diambil kira dalam permohonan ini.

Selain itu, katanya pemohon juga perlu mengemukakan dokumen yang membuktikan mereka telah memperoleh atau akan memperoleh kewarganegaraan negara lain. 

"Keputusan untuk melepaskan taraf kewarganegaraan dibuat berdasarkan pertimbangan tertentu yang dirasakan berbaloi oleh pemohon setelah meneliti segala aspek yang berkaitan," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Negara, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian kepada soalan Ahli Dewan Negara, Prof Tan Sri Datuk Dr Mohamed Haniffa Abdullah mengenai jumlah sijil pelepasan kewarganegaraan yang dikeluarkan dalam tempoh lima tahun ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, dalam tempoh sama, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) turut menerima sebanyak 8,838 permohonan bagi taraf Penduduk Tetap (PR), dengan Indonesia, Thailand dan India mencatatkan kadar permohonan tertinggi.

Daripada jumlah itu katanya 47.4 peratus permohonan yang diluluskan adalah dari Indonesia, diikuti Thailand (12.1 peratus) dan India (7.2 peratus).

Saifuddin turut menegaskan setiap permohonan, sama ada bagi kelulusan taraf PR atau pelepasan kewarganegaraan, dinilai secara teliti berdasarkan syarat dan kelayakan yang ditetapkan.