Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berkata, parti itu akan bertungkus-lumus berkempen bagi memastikan kerusi DUN Ayer Kuning kekal milik Kerajaan Perpaduan supaya kerajaan Perak kekal kukuh.
Nga berkata, DAP akan melaksanakan strategi kempen secara menyeluruh di pelbagai kawasan untuk memastikan kemenangan calon kerajaan dalam PRK itu.
"DAP adalah sebuah parti yang berbilang kaum, kita akan menggerakkan jentera kempen ke kawasan-kawasan yang diperlukan," katanya kepada pemberita selepas program Sembang Kopi bersama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, di sini, pada Rabu.
Nga berkata, pasukan kempen DAP Perak akan diketuai Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How serta Exco kerajaan negeri, A. Sivanesan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini, dengan penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 12 dan 22 April.
PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin pada 22 Feb lepas akibat serangan jantung selepas menyertai Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru di Stadium Bandaraya Georgetown, Pulau Pinang.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Ishsam yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah menang dengan majoriti 2,213 undi dalam persaingan lima penjuru.
-- BERNAMA
